rap

Mudah bertukar idea

Oleh Norhayati Nordin

SELEPAS membintangi siri televisyen Halfworlds terbitan HBO Asia pada 2015, kerjasama pelakon Bront Palarae dengan pengarah berkaliber Indonesia, Joko Anwar tidak putus.

Ternyata, Joko begitu yakin dengan bakat lakonan Bront berjaya membantu pelakon filem Terbaik Dari Langit ini menempa nama di Indonesia.

Hadir pada simposium sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia ketiga di ibu kota baru-baru ini, Bront berkongsi keserasiannya bekerjasama dengan Joko.

“Saya sangat senang bekerja bawah arahan Joko kerana kami mudah bertukar idea dan pendapat. Kami banyak berbincang.

“Malah, kami juga sudah bersahabat lama. Sehingga kini, banyak pengalaman yang saya timba ketika berlakon di Indonesia,” katanya.

Bakat dan nama Bront makin kukuh di Indonesia selepas filem Pengabdi Setan arahan Joko yang dibintanginya menjadi filem terlaris.

Menerusi Pengabdi Setan, Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin diterima baik di persada seni seberang.

Berbicara pembabitan awal dalam dunia lakonan, Bront berkata, dia mula mendapat peluang berlakon daripada sutradara Mamat Khalid.

“Selain berlakon, saya juga pernah melakukan kerja belakang tabir bagi menimba pengalaman. Abang Mamat banyak beri peluang.

“Perjalanan lakonan filem saya diteruskan dengan bekerja bawah Osman Ali. Diakui Osman juga banyak membantu saya,” katanya.

Dengan Mamat, Bront pernah membintangi filem Man Laksa pada 2005 manakala dengan Osman pula filem Anak Halal (2007) serta beberapa filem lain lagi.

Hampir dua dekad memahat nama, pencapaian Bront sudah melangkaui negara Asia.

Terbaharu, filem lakonan Bront dijangka menjengah pawagam adalah Gundala iaitu adiwira ‘petir’ Indonesia yang skrip dan arahannya juga oleh Joko.

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 6:01am
d