rap

Bukan jenaka kosong

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

MENJADIKAN Seniman Agung Tan Sri P Ramlee sebagai idolanya, Achey Bocey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, 33, mahukan setiap jenaka dan sketsa yang disampaikan bukan sekadar hiburan semata-mata.

Bagi anak jati Segamat, Johor itu, selain menghiburkan penonton matlamatnya dalam industri hiburan adalah menyampaikan mesej dan nasihat untuk manfaat bersama.

“Penonton hari ini menyifatkan jenaka yang kami sampaikan adalah kosong dan tidak membawa apa-apa makna.

“Tanggapan itu salah kerana menerusi sketsa yang dipersembahkan, kami menyelitkan nasihat yang bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya.

Mengambil contoh itu Achey memberitahu, ketika bersama Bocey dalam Maharaja Lawak Mega, mereka mempersembahkan sketsa mengenai kanak-kanak yang berdepan perkembangan teknologi.

“Dalam sketsa itu, Abam (Bocey) ada cakap lebih baik bermain PUBG (PlayerUnknown's Battlegrounds). Sketsa ini mengajak penonton berfikir iaitu pada zaman dahulu kanak-kanak membesar dengan baik biarpun tanpa gajet.

“Jika dikatakan pelawak sekarang tidak mendidik adalah salah kerana kami juga mahu memberi manfaat seperti hasil karya Tan Sri P Ramlee,” katanya.

Juara Bintang Mencari Bintang musim pertama itu berkata, dia yang menyertai kumpulan Botak dalam Muzikal Lawak Superstar 2019 mempersembahkan kisah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan askar, baru-baru ini.

“Mesej yang dapat diambil dalam sketsa ini adalah siapapun kita, perlu bersama-sama menjaga negara. Kami juga menjelaskan walaupun menjawat jawatan tinggi, orang yang lebih tua perlu dihormati,” katanya.

Achey bagai­manapun kesal apabila segelintir penonton tidak nampak apa yang mahu disampaikan.

“Tan Sri P Ramlee anak seni yang sangat berbakat dan menjadi idola saya. Allahyarham pengkarya ulung dan kehebatannya diperakui ramai,” katanya.

Pemenang tempat ketiga Maharaja Lawak Mega pada 2013 itu menegaskan bukan senang menjadi pelawak dan ia memerlukan bakat serta kebolehan.

“Bagi pelawak, kami hanya bertindak sebagai pelaku dan penghibur.

Biarpun begitu, tidak semua orang boleh menjadi pelakon atau pelawak.

“Ada orang mahu buat jenaka tetapi tidak menjadi. Hanya orang tertentu boleh menghiburkan melalui bakat semula jadi atau latihan,” katanya.

Kata Achey, selain beroleh pendapatan dalam industri hiburan, dia mahu menghiburkan penonton tanpa henti dan memberi kegembiraan buat orang ramai.

Achey yang juga penyanyi lagu Yang Terindah turut berpendapat kerjaya pelawak masih relevan pada era ini dan boleh diterima masyarakat.

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 7:00am
d