rap

Erra Fazira gementar nak tunai haji

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PELAKON popular Erra Fazira, berasa gementar dalam waktu sama teruja apabila bakal menunaikan ibadah haji pada awal Ogos ini.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 45, berkata, dalam waktu sama dia sedang sibuk melakukan persiapan sebagai persediaan sebelum menjejakkan kaki di Tanah Suci nanti.

“Saya tidak mengikuti kursus khas sebaliknya melantik seorang Ustaz untuk memberikan tunjuk ajar dan berkongsi gambaran mengenai selok-belok ibadah haji,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam waktu sama, Erra turut bertanyakan pengalaman mereka yang pernah menunaikan ibadah haji.

“Memandangkan bakal menunaikan ibadah haji, saya akan berehat buat sementara waktu daripada sebarang aktiviti seni hinggalah akhir Ogos,” katanya.

Kata Erra yang kini bergelar pengacara, sebelum ini dia sudah menanam niat untuk mengerjakan haji sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, impiannya itu terpaksa dipendamkan memandangkan wanita tanpa mahram tidak dibenarkan menunaikan haji sendirian.

“Namun sekarang ini usia sudah layak dan ternyata doa saya didengari serta dijemput untuk mengerjakan ibadat haji,” katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 6:00pm
d