rap

Areeda belum terdesak

Oleh Ardini Sophia Sina

EMPAT tahun bukanlah tempoh yang singkat. Namun, nama pelakon Dayang Areeda belum cukup dikenali walaupun sudah membintangi beberapa drama popular seperti Semusim Rindu, Sha dan Shah serta Pembancuh Kopi Mr Vampire.

Mungkin rezeki Areeda untuk bersinar terang di persada seni belum tiba. Bagaimanapun, wanita itu sedikit pun tidak mengeluh malahan terus berusaha mengukuhkan namanya.

Bukanlah kehadirannya tidak disedari tetapi namanya hanya menjadi sebutan tatkala siri membabitkan dirinya sedang bersiaran. Andai tiada naskhah baharu, dia seolah-olah tidak wujud dalam industri.

“Saya sendiri kurang pasti kenapa selepas sekian lama nama masih suam-suam kuku. Mungkin juga kerana saya bersih daripada cerita panas dan belum berpeluang melakonkan watak yang terus tersemat di hati penonton.

“Kalau mahu katakan langsung tidak ada yang kenal, tidaklah begitu. Nama saya ada juga disebut walaupun hanya melakonkan watak pembantu tetapi situasi itu berlaku hanya ketika drama lakonan ditayangkan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak sedikit pun kecewa dengan keadaan dialaminya itu. Malahan, wanita berusia 25 tahun ini juga tidak terdesak untuk menaikkan namanya hingga perlu mencetuskan kontroversi.

Walaupun mengambil masa panjang untuk menaikkan kariernya, Areeda sama sekali tidak percaya kontroversi mampu membantu namanya melonjak sekali gus mengukuhkan namanya.

Bagi wanita kelahiran Kudat, Sabah ini, ia lebih selesa bertatih membangunkan kerjayanya dengan menjauhi cerita panas yang boleh menjejaskan nama baik dan memberikan kesan buruk kepada keluarga.

“Saya lebih suka begini. Tidak perlu pening berdepan pandangan masyarakat apabila nama terpalit kontroversi. Bukan hanya nama baik saja tercemar tetapi kesan buruk pada keluarga juga.

“Tidak kisah pun kalau umum melihat saya sekejap ada, sekejap tiada. Zaman ini sudah maju, walaupun tidak ada karya lakonan saya yang ditayangkan, saya masih boleh berinteraksi dengan peminat menerusi media sosial,” katanya.

Raut wajahnya mungkin kelihatan dia seperti seorang wanita lembut hakikatnya Areeda mengidamkan watak lasak dan sarat dengan permainan emosi.

Menjadikan aktres Nabila Huda sebagai idola, Areeda percaya, karakter yang banyak bermain dengan emosi mampu menjadi pengukur bakat seseorang dalam bidang lakonan.

“Saya ingin mencuba pelbagai jenis karakter untuk profil karier.

“Saya banyak perhatikan, watak yang menyayat hati mampu menarik perhatian penonton sekali gus membantu karier pelakon berkenaan untuk terus berkembang,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 4:00am
d