rap

Nana ajak Khai masuk kelas lakonan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI dan pelakon, Siti Nordiana merancang mengajak rakan duetnya dalam lagu Satukan Rasa, Khai Bahar untuk bersama-sama menyertai kelas lakonan.

Menurut Siti Nordiana yang mesra disapa sebagai Nana, itu adalah sebagai persediaan untuk mereka berdua sebelum melangkah masuk ke set penggambaran sebuah megadrama tidak lama lagi.

"Insya-Allah, awal Ogos nanti, saya akan kembali ke set penggambaran selepas hampir setahun berehat daripada dunia lakonan.

“Kali ini, saya akan bergandingan dengan rakan duet, Khai Bahar," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, itu adalah drama pertamanya bergandingan bersama Khai.

"Ini adalah drama pertama saya akan bergandingan dengan Khai dan kalau tak salah, ini juga adalah drama pertama lakonannya.

"Jadi, saya rasa, penting bagi kami menyertai kelas lakonan untuk memantapkan lagi skil lakonan," katanya.

Ditanya sama ada Khai pernah bertanya dan meminta tip lakonan daripadanya, Nana mengakui ada.

"Memang dia ada bertanya mengenai tip dan nasihat dalam lakonan dan saya pun ada berkongsi dengannya. Namun, saya pun masih baru lagi dalam cabang seni ini dan lebih afdal sekiranya kami bersama-sama menyertai kelas lakonan yang lebih formal.

"Daripada apa saya lihat menerusi video muzik lagunya dan lagu duet kami, saya yakin Khai adalah seorang penyanyi yang ada bakat dalam lakonan," katanya.

Judul megadrama itu bagaimanapun masih lagi dirahsiakan dan akan diumumkan selepas mendapat kata putus.

Terbaru, video muzik lagu Satukan Rasa sudah mencecah jumlah tontonan lebih 2.2 juta di YouTube.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 4:13pm
d