rap

Kalau ada, adalah...

Oleh Rudy Imran Shamsudin

DALAM usia mencecah 37 tahun, bagi kebanyakan lelaki akan berdepan dengan situasi dipanggil ‘krisis pertengahan umur’ dan perkara itu turut dilalui aktor popular Remy Ishak.

Malah andai ditanya Remy mengenai soal jodoh kepadanya, ia pasti akan memberikan tekanan.

“Susah sebenarnya kalau hendak bercakap me­ngenai jodoh ini. Pada saya biarlah ia datang dengan sendiri. Kalau ada, adalah.

“Sekarang ini saya sedang berdepan dengan ‘krisis pertengahan umur’. Banyak perkara perlu saya lakukan. Susun perjalanan hidup terutama membabit­kan soal kewangan.

“Perkara ini pada saya agak penting kerana apabila sudah berkeluarga nanti, mereka akan berasa selamat dan terjamin hidup bersama,” katanya ketika ditemui Harian Metro baru-baru ini.

Kata Remy yang bakal muncul dengan filem Sang­kar beraksi di samping Zul Ariffin, sebagai lelaki sejati, dia mengharapkan apabila usianya mencecah 40 tahun dia sudah memiliki segala-galanya.

“Saya rasa perkara ini penting kerana apabila sudah berumah tangga nanti tidaklah isteri bising minta susu anak tidak ada. Perkara seperti ini seharusnya tidak berlaku dalam hidup berumah tangga.

“Kahwin memang mudah, tapi hendak melaksanakan tanggungjawab itu paling penting. Apabila sudah berkahwin kita harus jaga manusia. Kita harus memikirkan masa depan, terutama keluarga yang dibina.

“Memanglah saya boleh fikir diri sendiri saja, tetapi itu penting diri namanya. Tambahan pula umum tahu kerja sebagai pelakon ini bukanlah kerja tetap dan saya tidak semesti­nya sampai bila-bila akan ditawarkan watak utama,” katanya.

Menurutnya, kalau dinilai usianya mungkin pada 10 tahun akan datang rambutnya sudah beruban dan dalam situasi itu pasti tidak sesuai lagi untuk dia menjayakan watak hero yang digambarkan sebagai pelajar kolej.

“Kalau ada pun watak untuk saya ketika itu adalah sebagai bapa, itupun watak bapa juga semakin berkurangan. Saya akui seronok bergelar pelakon, malah dalam diam sebenarnya sudah 15 tahun menjadi anak seni.

“Cuma dalam melayari hidup sebagai pelakon ini, dalam banyak kelebihan ada kekurangannya, jadi saya harus bijak mempertimbangkan dari semua sudut, apatah lagi sekiranya mahu berumah tangga dan membina keluarga.

“Bayangkan kalau tawaran semakin kurang, bagaimana saya hendak menanggung perbelanjaan keluarga. Benar rezeki setiap hamba-Nya sudah ditetapkan, tetapi saya bakal bergelar ketua keluarga harus juga bersiap sedia,” katanya.

Bercerita mengenai persediaan, Remy turut berkongsi dia kini sudah berjinak-jinak dengan bidang perniagaan berkaitan penternakan dan pertanian yang dijalankan di kampung halamannya di Melaka.

Berkongsi mengenai perkembangan lain, kata Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, buku biografi yang mahu dihasilkan terpaksa dihentikan buat sementara proses pembikinannya.

“Ada perkara berlaku dalam hidup saya membuatkan proses menghasilkan buku biografi ini terbantut buat seketika. Dalam waktu sama, sepanjang tahun lalu dan tahun ini juga jadual kerja sangat padat sehingga saya tidak terkejar untuk melakukan perkara lain.

“Saya sampai rasa tertekan kerana terpaksa melakukan semua benda dalam satu masa. Tiada pilihan saya terpaksa tinggalkan satu perkara, jadi saya memilih untuk berhenti sekejap daripada menghasilkan buku ini.

“Soal bila buku ini akan disiapkan dan diedarkan pun saya tidak berani berjanji, tapi apa yang boleh dikongsikan sebenarnya ia sudah 70 peratus siap pembikinannya,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 5:00am
d