rap

Ganti Siti? fikir dulu - Ernie Zakri

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI Ernie Zakri mengakui dirinya pasti berbesar hati jika diberikan peluang untuk menyanyikan lagu Anta Permana di Anugerah Juara Lagu (AJL) nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Ernie, 27, bagaimanapun berkata keputusan siapa menggantikan Siti untuk menyanyi lagu itu bergantung sepenuhnya kepada komposer lagu berkenaan meskipun ada mendengar namanya dipetik antara calon pilihan.

“Saya mendapat tahu hal ini daripada membaca artikel media. Tapi, pihak komposernya Hael Husaini masih belum bagi apa-apa kata putus meskipun dia ada kacau saya mengenai hal ini.

“Siapa tak bangga kalau dapat menggantikan Siti? Cuma saya fikir biarlah saya utamakan haluan sendiri dulu. Peluang lebih baik yang datang contohnya gantikan Siti, itu akan difikirkan bersama label saya.

“Untuk Anta Permana, saya pasti ramai menantikan lagu ini ke AJL. Sesiapa juga yang dipilih untuk menggantikan Siti nanti pasti akan berdepan situasi dibandingkan dengan nyanyiannya dan hal ini normal,” katanya.

Penyanyi Ku Bersuara itu juga berkongsi pendapat peribadinya memilih Aisyah Aziz sebagai calon yang juga layak menyanyikan lagu itu.

“Bagi saya, lagu ini perlu diberikan kepada penyanyi yang suaranya sangat lain daripada konsep lagu ini sendiri. Saya percaya Aisyah boleh beri keadilan kepada lagu ini dan saya sendiri pernah dengar nyanyiannya,” katanya.

Terdahulu, lagu Anta Permana hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong yang dianggap single 'kemunculan semula' Datuk Seri Siti Nurhaliza ternyata membuahkan hasil.

Siti yang tiga kali memenangi Juara Lagu menerusi lagu Jerat Percintaan, Cindai dan Balqis kekal dengan keputusan sebelum ini yang dia tidak mahu lagi bertanding.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 4:43pm
d