rap

Sasar korban 500 lembu

Oleh Ardini Sophia Sina

HANYA kira-kira tiga minggu saja lagi umat Islam bakal menyambut Aidiladha pada 11 Ogos depan. Sehubungan itu, pelbagai pihak tampil meminta semua individu sama-sama melaksanakan ibadat ini.

Begitu jugalah dengan persatuan ibadahqurban.org yang didaftarkan di bawah Pertubuhan Kebajikan Atta’wun Selangor bekerjasama dengan Pusat Tahfiz, Darul Quran Bukit Badong, Ijok milik Ustaz Aiman Sufyan Aezman.

Bekas peserta pertandingan Da’i pada 2017 itu menyatakan keinginannya untuk melihat Islam bersama melaksanakan dan menjayakan program korban buat penduduk di Republik Chad, Afrika.

Memulakan program ini sejak 2016, tahun ini pihak mereka sekali lagi menyasarkan jumlah yang sama iaitu 500 lembu untuk disembelih pada Aidiladha nanti.

“Sejak awal penganjuran, kami memang peruntukkan 500 lembu untuk diagihkan kepada penduduk di sana. Kalau ada lebihan, kami akan bawa ke tempat lain.

“Kami sendiri akan ke sana dan saya antara yang akan menyembelih lembu berkenaan. Saya tidak mahu hanya menghantar wakil dan mengambil ringan kepercayaan yang sudah diberikan,” katanya.

Menurut Aiman, berada di negara yang digelar sebagai ‘jantung mati Afrika’ itu membuatkan hatinya sebak. Ia sebuah kawasan yang mundur dan serba kekurangan.

Ketika berada di sebuah sekolah tahfiz, ada antara pelajar yang mengakui baru pertama kali menjamah daging dan berterima kasih kerana dijamu dengan daging korban berkenaan.

“Saya sebak apabila mendengar dia berkata seperti itu, tetapi di mata mereka tidak ada kesedihan. Yang ada hanya keceriaan dan gembira kerana akhirnya mereka berpeluang untuk makan daging.

“Kehidupan mereka memang sangat daif. Tidak ada sumber air bersih dan sebab itulah antara projek yang kami jalankan juga adalah membina perigi untuk penduduk beberapa kawasan di sana,” katanya.

Baru-baru ini, tular satu dakwaan mengatakan jumlah daging korban di Malaysia semakin menurun kerana umat Islam di negara ini lebih banyak terbabit dengan program korban di luar negara hingga terjadinya lambakan di kawasan berkenaan.

Ditanya mengenai situasi itu, Aiman berkata, adalah lebih afdal andai tempat sendiri diberikan keutamaan. Bagaimanapun, jika kurang berkemampuan, maka bolehlah menyertai ibadah korban untuk masyarakat Islam di luar negara.

“Bagi mereka yang berkemampuan, lebih baik dahulukan tempat sendiri. Kalau ada rezeki lebih, barulah sertai ibadah korban untuk umat Islam yang memerlukan di luar negara.

“Apa yang saya lakukan ini adalah sebagai pilihan buat mereka yang kurang berkemampuan namun teringin untuk menjalani ibadah korban. Satu bahagian lembu yang kami tawarkan hanyalah RM300 saja,” katanya.

Program ibadah korban buat Republik Chad itu bakal dijalankan di 25 lokasi yang sudah dipilih dan dikenal pasti sebagai kawasan lebih memerlukan oleh pihak hal ehwal Islam di negara itu.

Kata Aiman, tidak ada yang perlu dibimbangkan kerana setiap lembu yang dipilih memenuhi syarat dan diperiksa oleh jabatan kesihatan haiwan terlebih dulu.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 4:15am
d