rap

Johan buang ego, setahun tiada tawaran berlakon

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

"SAYA mengaku dahulu keras kepala dan menginsafi perbuatan itu. Besar harapan untuk pihak berkaitan memaafkan dan saya berjanji mengubah sikap," kata pelakon, Johan As'ari, 33.

Johan berkata, dia sangat bersedih kerana sudah setahun tidak menerima tawaran lakonan sebaik disekat penerbit dan pengarah produksi serta stesen televisyen.

Katanya, kali terakhir lakonannya adalah menerusi drama Jurnal Suraya pada 2017 dan sebuah telefilem pada tahun lalu.

"Jika saya bersifat ego diri sebelum ini, maafkan saya. Saya mohon berikan peluang untuk kembali menyinar dalam industri hiburan," katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, tiada manusia tidak melakukan kesilapan dan setiap yang berlaku ada hikmahnya.

"Saya faham suatu masa tiada tawaran berlakon tetapi kali ini begitu lama. Mujur saya menyimpan wang dalam Amanah Saham Bumiputera (sejak 2012) dan dapat digunakan ketika ini," katanya.

Johan berkata, bermula 2012 hingga 2017 dia membintangi banyak drama dan filem yang menaikkan rating tontonan.

"Tahun kelima dan keenam dalam industri ini sangat mencabar. Saya tidak patah semangat dan percaya akan kembali semula biarpun ketika ini terkapai-kapai," katanya.

Johan berpendapat, kebanyakan pelakon yang membintangi drama ketika ini adalah berdasarkan populariti bukannya bakat seperti Remy Ishak dan Shaheizy Sam.

"Namun saya tidak menyalahkan sesiapa kerana ia rezeki mereka. Bagaimanapun fikirlah semula saya juga pernah memberi sedikit sumbangan dalam pembangunan drama serta filem," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 6:00pm
d