rap

Tak nak kaki Haziq dipotong - Linda Eva

Oleh Norhayati Nordin

"HATI ibu mana tak luluh jika kaki anaknya dipotong. Apatah lagi, Haziq, 19, adalah anak lelaki tunggal yang saya harapkan.

"Saya tak sedia melihat Haziq menjadi orang kehilangan upaya (OKU) pada usia masih muda. Justeru, saya nekad mencuba rawatan alternatif," kata penyanyi kumpulan Eva, Linda.

Lind atau nama sebenar Norhaslinda Ishak, 42, berkata kaki kanan Haziq atau nama sebenar Muhammad Haziq Hasbullah, 19, yang cedera teruk akibat salur darah putus ketika kemalangan pada 5 Julai sepatutnya dipotong pada 19 Julai lalu.

"Selepas menjalani dua pembedahan kaki kanan di sebuah hospital di Cheras akibat kemalangan itu, Haziq dibenarkan pulang ke rumah.

"Namun, selepas lima hari berada di rumah keadaan kesihatannya merosot dan saya merujuk dia ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Namun, doktor memberitahu kaki kanannya perlu dipotong.

"Sukar untuk saya menerima dan membuat keputusan paling berat ini. Apapun, memikirkan kesihatan Haziq demi menyelamatkan nyawanya, saya bersetuju," katanya.

Linda berkata, apa pun sebaik berbincang dengan keluarganya dia meminta ditangguhkan seketika untuk mencuba rawatan alternatif.

"Setakat ini, saya melihat ada perubahan pada kaki kanan Haziq selepas dia makan ubat saraf yang berharga lebih RM200 untuk lima hari.

"Selain itu, saya juga membeli krim khas untuk merawat sel kulit mati pada jari kaki kanan Haziq termasuk membuat pembersihan luka di bawah lutut yang berlubang dengan kos sekitar RM100,” katanya.

Menurutnya, apabila memikirkan soal kewangan, kos ubat itu memang agak mahal tetapi dia melihat ke arah positif untuk berusaha selagi termampu.

"Sekalipun dugaan dilalui Haziq berat, saya harus kuatkan diri untuk memberi semangat kepadanya lebih positif dan tidak cepat mengalah pada ujian dihadapi," katanya.

Katanya, dia juga ada mendapatkan pandangan daripada pakar perubatan profesional yang mencadangkan Haziq melakukan kaedah rawatan plasenta biri-biri.

"Rawatan plasenta (biri-biri) dikatakan antara kaedah yang baik dan berkesan untuk membaik pulih semula saraf cedera atau rosak dengan cepat.

"Bagaimanapun, kos bagi rawatan ini memerlukan saya mengumpul lebih RM30,000 untuk 10 sesi rawatan yang diboleh dijalankan di rumah," katanya.

Sehubungan itu, Linda berkata dia membuang ego diri dan perasaan malu dengan memohon orang ramai menghulurkan sumbangan bagi mengumpul dana itu.

"Saya berharap semoga usaha ini berjaya. Terima kasih kepada sesiapa yang menyumbang dan saya juga memohon doakan kesihatan Haziq pulih," katanya.

Bagi orang ramai yang ingin membantu, bolehlah menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 114067310531 (Norhaslina Ishak) atau menghubungi Linda menerusi Instagram: @lindaeva_official.

Untuk rekod, kemalangan membabitkan Haziq berlaku di Jalan Sungai Besi ketika membonceng motosikal bersama rakannya dalam perjalanan ke Bukit Jalil.

Haziq pernah menganggotai kumpulan Putera Band yang popular dengan lagu Rebahku Tanpamu, Tersiksa dan Dilema.

Pun begitu, empat bulan lalu Haziq mengumumkan dia memilih bergerak solo dan meninggalkan Putera Band selaku vokalis.

Sebelum ini, Haziq juga pernah mengalami kemalangan motosikal pada hujung Februari tahun lalu yang berpunca daripada motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori dipakir di bahu jalan.

Akibat daripada kemalangan itu, Haziq mengalami kecederaan di paru-paru, retak tulang tengkuk dan patah tulang rusuk.

Berita berkaitan

Haziq kemalangan, dibedah dua kali

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 6:10pm
d