rap

Rojak album terakhir Faizal Tahir

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI Faizal Tahir mengesahkan bakal melancarkan album terakhirnya berjudul Rojak dan menyatakan ia bukan sekadar gimik semata-mata.

Faizal, 40, berkata dia bagaimanapun akan menjelaskan secara terperinci mengenai keputusannya menjadikan album itu yang terakhir pada pelancarannya nanti.

“Ya, memang sah Rojak akan menjadi album saya yang terakhir dan bukan gimik. Saya akan cerita segalanya termasuklah sebab dan kenapa pada sidang media pelancarannya nanti.

“Sekarang saya masih sibuk untuk menyiapkan sepenuhnya album ini. Kini ia sudah siap 90 peratus dan guna masa sebelum pelancaran untuk siapkan sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, penyanyi lagu Assalamualaikum itu memaklumkan perkara itu di media sosialnya menerusi sebuah video.

“Semua kita di Malaysia adalah Rojak disebabkan orang, budaya, bahasa dan ia sangat indah. Disebabkan itu saya nama album ini Rojak.

“Satu hal mengenai album ini, ia adalah album saya yang terakhir,” katanya.

Sejak memulakan karier muzik pada 2004, Faizal sudah menghasilkan empat album penuh iaitu Aku.Muzik.Kamu pada 2007, Adrenalin (2010), Faizal Tahir (2013), dan Anatomi (2016).

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 3:53pm
d