rap

Tak terikat syarikat keluarga

Oleh Ramlah Zainal

WALAUPUN meminati bidang nyanyian, Wanna Ali, 21, terpaksa akur rezekinya lebih murah dalam bidang lakonan ketika ini.

Menurut anak produser Datuk Ayu Puteh ini, dia bersyukur kerana tawaran berlakon juga tidak putus ketika ini.

“Selain berlakon dengan syarikat produksi sendiri, Pencil Pictures & Records, saya juga terima tawaran daripada syarikat produksi lain.

“Saya juga tiada masalah berlakon dengan syarikat produksi lain kerana tidak mahu terikat dengan produksi milik keluarga semata-mata.

“Saya juga baru terbabit dengan penggambaran drama terbitan JS Pictures, sebelum ini,” katanya.

Kata Wanna, dia baru selesai penggambaran Telefilem Misteri Akil Balik bergandingan dengan Izzue Islam dan Aprena Manrose terbitan Pencil Pictures.

“Saya bawa watak pembantu dalam telefilem yang diterajui Aprena dan Izzue itu. Saya juga tidak kisah ditawarkan watak pembantu walaupun telefilem ini terbitan produksi keluarga,” katanya

Mengenai projek filem pula, kata Wanna, dia juga berdebar menanti filem lakonannya, Ada Apa Dengan Dosa bakal ditayangkan di pawagam tanah air pada tahun depan.

Dalam filem terbitan Pencil Pictures itu, Wanna bergandingan dengan PU Riz, Fasha Sandha dan Ashraf Muslim.

“Saya diberi kepercayaan sebagai heroin iaitu Aurora dalam filem drama berat ini. Aurora, dilahirkan beragama Islam tetapi tidak mengamalkan cara hidup yang dituntut agama.

“Penggambaran filem ini sudah selesai dan membabitkan lokasi di Scotland,” katanya.

Mengenai gandingan dengan PU Riz pula, kata Wanna, dia tiada masalah mendapat keserasian dengan pelakon itu.

“Kami berdua banyak ditawarkan watak pembantu sebelum ini malah julung kali bergandingan sebagai hero dan heroin di layar perak.

“Kami juga saling membantu untuk menjiwai watak seperti dikehendaki skripnya. Semoga gandingan kami diterima peminat nanti,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Wanna juga sibuk mengusahakan produk yang juga perniagaan milik keluarganya.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 5:00am
d