rap

Pasangan idola

Oleh Rudy Imran Shamsudin

ANTARA kisah cinta pasangan terkenal Hollywood yang menjadi perhatian sekarang tidak lain tidak bukan Vanessa Hudgens dan Austin Butlet.

Hampir tujuh tahun menjalin hubungan cinta, Vanessa yang dikenali menerusi siri filem High School Musical dan Austin, bintang utama Aliens in the Attic dan siri TV, Switched at Birth sudah dianggap pasangan idola dalam kalangan peminat.

Mereka tidak pernah sekali pun cuba menyembunyikan hubungan yang terjalin dan sering muncul bersama pada acara karpet merah.

Vanessa juga tidak keberatan memeriahkan acara karpet merah dan berada di samping Butlet apabila buah hatinya itu menghadiri majlis pelancaran filem terbaharunya.

Ia menjadi sebahagian cara pasangan kekasih itu memberi sokongan sesama mereka walaupun tidak punya kaitan dengan karya dibintangi.

Perasaan cemburu terhadap kerjaya seni masing-masing juga tidak pernah wujud di antara Vanessa dan Butlet, sebaliknya ia dipercayai sebagai pengikat untuk kekal bersama hingga kini.

Lebih daripada itu, ramai terharu apabila mendengar kenyataan diberikan Butlet mengenai Vanessa.

Sewaktu ditemuramah E-Entertainment, Butlet secara terbuka menjelaskan sukarnya dia menggambarkan betapa Vanessa sangat bermakna dalam hidupnya.

“Setiap hari Vanessa menjadi sumber inspirasi dan saya sangat menyintainya,” kata Austin.

Vanessa sendiri tidak pernah menyembunyikan perasaan bangganya terhadap Butlet apabila baru-baru ini, kekasihnya dilaporkan berjaya memegang watak utama sebagai Elvis Presley dalam filem biopik terbaharu penghibur legenda dunia itu.

Pengarah filem Elvis Presley, Baz Luhrmann mengesahkan Butlet diberikan watak ikonik terkenal dalam industri antarabangsa itu menerusi laman Instagram miliknya, baru-baru ini.

Filem itu dijadualkan memulakan penggambaran awal tahun hadapan di Australia. Filem terbabit akan mengangkat kisah perjalanan kerjaya seni Elvis dan hubungannya dengan pengurusnya, Colonel Tom Parker yang akan dijayakan pengarah berpengalaman Tom Hanks.

Sebaik sahaja pengumuman dibuat, Vanessa terus memuat naik reaksinya terhadap pemilihan Butlet ke laman sosial.

“Saya bagaikan berada di bulan. Saya sungguh berbangga dengan kekasih hati saya,” katanya.

Begitulah situasinya pasangan kekasih berkenaan setiap kali seorang daripada mereka punya perkhabaran gembira.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 10:30am
d