rap

Eleena Sui pulang kerana rindu

Oleh Norhayati Nordin

HANYA bertahan lima bulan di luar negara, pelakon dan pengacara, Eleena Sui, 27, akhirnya pulang semula ke tanah air.

Sebelum ini, Eleena akur mengikut suaminya, Ahmad Faisya Mohd Bustaman, 32,bertugas ke sebuah negara timur laut Afrika, pada pertengahan Sepetember tahun lalu.

Eleena berkata, dia kembali ke Malaysia sejak Februari lalu kerana tidak tahan menanggung rindu terhadap ibu bapa dan keluarga.

“Saya pulang ke tanah air di atas izin suami. Selain rindu keluarga, negara berkenaan tidak aman dan sentiasa kena berjaga-jaga.

“Apapun, sebab utama saya balik kerana rindu. Saya tidak pernah berjauhan dengan keluarga dan perasaan rindu itu hanya Allah SWT yang tahu,” katanya.

Eleena berkata, pengalaman menetap seketika di luar negara membuatkan dia bersetuju dengan peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.

Menurut Eleena, dengan sedikit keperitan dilalui ketika di luar negara menyebabkan dia sangat bersyukur dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.

Pemilik nama sebenar Nor Eleena Hamzah itu berkata, meskipun taraf hidup di tanah air agak tinggi tetapi tidak seteruk luar negara.

“Negara tempat suami ditugaskan itu dalam pergolakan. Jadi, soal ketenteraman dan keamanan memang tidak boleh dijangka. Hati selalu risau.

“Selain itu, makanan juga agak sukar. Di negara kita ada banyaj makanan sedap dan boleh hidup aman damai,” katanya.

Sekembalinya ke tanah air, Eleena merancang untuk aktif semula berlakon dan mengacara.

Sebelum berumah tangga dan berhijrah seketika di luar negara, Eleena pernah popular dengan watak antagonis menerusi drama Suri Hati Mr Pilot.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 6:07pm
d