rap

Ajak anak muda sertai konvoi

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

BIARPUN sudah bergelar anak seni, Suriana Abdul Wahab, 33, atau Keena Prasista tidak melupakan peranannya kepada masyarakat apabila sering menjayakan program tanggungjawab sosial (CSR) bersama kumpulan motosikalnya.

Protege kepada Awie dalam Mentor musim ketiga itu kini aktif melakukan aktiviti kebajikan dengan mengunjungi rumah anak yatim dan tahfiz di Lembah Klang untuk menyampaikan bantuan.

Melalui sokongan Persatuan Black Horses Motor Group, mereka gemar melakukan konvoi beramai-ramai bagi menjengah kehidupan insan yang memerlukan.

“Aktiviti CSR ini dimulakan November tahun lalu dan minat untuk bermotosikal menjelma pada 2016. Bagi saya aktiviti ini merapatkan hubungan bersama rakan dan masyarakat,” katanya pada sesi fotografi bersama Harian Metro di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ikon Dadah Kebangsaan 2019 itu berkata, dia menghentikan sementara penggambaran drama berikutan mahu memberi fokus pada persembahan nyanyian dan aktiviti bermotosikal.

Memiliki motosikal Virago 535, Keena mengajak peminat dan orang ramai menyertai persatuan bagi merancakkan aktiviti berkebajikan.

“Peminat motosikal berkuasa tinggi boleh bersama kami melakukan konvoi amal. Untuk penyertaan boleh melayari Facebook Keena Prasista atau Black Horses Mg,” katanya.

Penyanyi lagu berjudul Seksi Bukan Murahan itu mahukan anak muda menjauhi perbuatan vandalisme, rempit dan dadah melalui aktiviti berkenaan.

“Semua orang boleh bersama kami termasuk suami isteri. Tujuan yang lain adalah Keena mahu hubungan antara artis dan masyarakat dapat didekatkan,” katanya.

Berpangkalan di Maju Junction, Kuala Lumpur, Keena yang dibantu rakan, Mohammad Nazril Abdullah, 47, Noor Azzam Zahari, 42, Remy Kajang, 45, Izwan Shah Ridzuan, 42, Azhari Harahab Anshary, 25, dan Mohd Nor Bond, 52, turut melaksanakan program santuni masjid.

“Apa yang mahu ditekankan adalah cara menunggang motosikal mengikut undang-undang,” katanya.

Dalam perkembangan seni, Keena berkata, dia kini bersama syarikat muzik dari Indonesia, I-Global Entertainment untuk mengenengahkan muzik rock dangdut.

“Saya akan ke Indonesia pada Disember depan untuk mengeluarkan single terbaharu. Kami akan berkunjung di 30 ibu kota di Indonesia bagi memperkenalkan rock dangdut Malaysia,” katanya.

Memiliki 15 lagu single dan membintangi 100 drama tempatan, Keena berhasrat melebarkan sayap di negara itu selain merancakkan aktiviti seni dalam negara.

“Buat masa sekarang, saya menghentikan sementara lakonan dengan kali terakhir drama Petua Nenek bersama A Aida Production. Saya baru dinobatkan sebagai Queen of Ladies Bikers 2019 dan mahu memberi fokus pada konvoi amal,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 5:05am
d