rap

Salam perkenalan daripada Muaz

Oleh Norhayati Nordin

PADA awal era 2000, kebanyakan bakat baharu industri seni dicungkil menerusi program realiti TV.

Namun, seiring masa yang menyaksikan perkembangan pesat teknologi semestinya media sosial menjadi landasan utama anak muda.

Enggan melepaskan peluang yang sudah ada di hujung jari, Muaz Mustaqim turut menggunakan pendekatan itu.

Berkat kerajinan Muaz atau nama sebenar Muhammad Muaz Mustaqim Rosman, 18, memuat naik lagu yang dinyanyikan semula di Instagram (IG), dia kini bergelar artis syarikat rakaman.

Bernaung di bawah syarikat Strumhits milik penyanyi kerohanian, Hafiz Hamidun awal tahun ini, Muaz sudah menghasilkan single solo pertama.

Tampil dengan lagu berjudul 5 Minit ciptaan bekas anggota kumpulan Sleeq, Alif, ia menjadi taruhan salam perkenalan daripada Muaz.

Mengulas kerjasama dengan Hafiz, Muaz berkata dia tidak menduga bakat nyanyiannya akan menarik minat komposer dan penerbit terkenal itu untuk diketengahkan lebih serius.

“Saya tidak tahu Abang Hafiz tertarik untuk membantu mengetengahkan bakat nyanyian yang diwarisi daripada ayah. Kalau nak tahu ayah saya dulu penyanyi berkumpulan era 90-an.

“Saya suka menyanyi sejak kecil dan ayah memberikan sokongan. Cuma, ketika itu pelajaran harus diutamakan.

“Sebaik tamat sekolah dan memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya suka menyanyikan semula lagu popular dan muat naik di IG,” katanya.

Berbicara mengenai sejarah seni bapanya, Muaz yang mahu berahsia bagaimanapun sedia berkongsi pembabitan kerjaya pendorong utamanya itu.

“Bapa saya, Rosman pernah menganggotai kumpulan rock Qiara pada era 90-an dan popular dengan lagu Hanya Padamu yang dikenali hingga kini.

“Saya bangga dengan kejayaan bapa ketika aktif menyanyi dulu. Bagaimanapun, saya mahu dikenali kerana bakat yang ada dan bukan kerana saya anak kepada vokalis kumpulan Qiara.

“Terus terang, saya tidak mahu nanti dikaitkan menumpang nama bapa sendiri meskipun perkara itu tidak salah dan satu bonus buat saya,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Alif, penyanyi remaja yang memiliki pakej bakat dan wajah ini memberitahu mereka banyak berbincang.

“Tidak sukar bekerja dengan Abang Alif kerana dia sangat membantu. Banyak tunjuk ajar diberikan kepada saya ketika proses rakaman lagu.

“Kini, harapan saya semoga lagu 5 Minit akan menjadi perhatian pendengar seterusnya mesra radio dan tersenarai dalam carta lagu popular mingguan,” katanya.

Sehubungan itu, video muzik lagu 5 Minit nyanyian Muaz yang dimuat naik di YouTube sejak tiga bulan lalu sudah mencatat lebih 110,000 tontonan.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 5:10am
d