rap

'Tetap buat filem lagi'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

BIARPUN filem pertama terbitan syarikatnya, Bella dan Jamie yang ditayangkan pada Januari lalu rugi dan tidak pulang modal, pelakon, penyanyi dan penerbit Liyana Jasmay tidak berputus asa.

Malah, Liyana, 31, berkata dia menerusi syarikatnya, Mermaid Studios Sdn Bhd tetap optimis dan akan terus menerbitkan filem lain selepas ini.

Menurut Liyana, apa yang berlaku dianggap sebagai cabaran dalam perniagaan dan percaya kejayaan akan hadir jika terus berusaha.

“Diakui memang sedih sebab filem rugi. Saya tak boleh tipu sebab semua tahu angka dan kutipan filem ini. Ini takkan patahkan semangat kami. Kerja perlu diteruskan. Itulah cabaran dalam perniagaan.

“Sasaran nak dapatkan kutipan sekurang-kurangnya RM1 juta tetapi tak sampai langsung. Ia sangat sedih. Namun, saya cakap pada kakak ini bukan pengakhiran. Memandangkan ini filem pertama, jadi kita belajar apa kehendak penonton.

“Kadang-kadang, sebagai penerbit kita rasa ini yang penonton mahukan tetapi tidak. Jadi, ini cabaran penerbit apabila kena berikan apa penonton mahu dan sesuatu yang mereka nak tonton berulang kali,” katanya.

Liyana yang juga penyanyi lagu Aku Tak Percaya Cinta berkata, filem yang akan diterbitkan selepas ini masih berbajet rendah dan berkonsepkan feminin.

“Kami tetap akan buat filem lain selepas ini. Bukan filem bajet besar iaitu lebih RM1 juta tetapi kurang daripada itu. Genre juga berbeza namun inti pati masih perempuan.

“Walaupun rugi, ini titik peluh kami sendiri dan alhamdulillah tak hutang orang.

“Kadang-kadang ada rugi dan untung. Mungkin hari ini saya rugi tetapi insya-Allah tahun depan atau dua tahun lagi untung pula,” katanya.

Menurut Liyana yang juga pelakon filem Khurafat, filem baharu itu akan memulakan penggambaran sekiranya sudah terdapat dana dan penaja.

“Genre filem baharu masih rahsia. Kami akan cuba buat secepat mungkin. Selain itu, kami ada banyak projek lain seperti telefilem, drama TV dan YouTube.

“Fokus kami masih di TV tetapi filem akan cuba secepat mungkin. Apabila sudah dapat dana, kita akan terus buat,” katanya.

Ditanya adakah dia bakal menggunakan khidmat pelakon popular bagi menarik penonton datang ke pawagam, Liyana berkata, dia tidak mahu meletakkan sepenuhnya terhadap faktor itu.

“Perlu diakui faktor pelakon popular penting. Ia realiti dalam bidang hiburan. Penonton nak tengok sama ada genre atau pelakon yang bagus.

“Namun ada juga filem yang menggunakan pelakon popular tetapi filem tak laku. Jadi, pokok pangkalnya, ia berbalik kepada genre atau jalan cerita filem itu. Itu sangat penting.

“Kalau letak semua pelakon popular tetapi kalau cerita itu bosan, tetap akan bosan,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 5:20am
d