rap

Lara pandai bawa diri

Oleh Syanty Octavia Amry

MENYAMBUT ulang tahun kelahiran kelima, baru-baru ini, perkembangan si cilik Lara Alana yang juga anak kepada pasangan selebriti Scha Alyahya dan Awal Ashaari dilihat semakin matang dan mungkin berbeza dengan kanak-kanak seusianya.

Bertemu kedua-dua ibu bapa Lara pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya, Awal berkata, karakter Lara sudah ada malah dia tahu apa yang diinginkan.

“Saya melihat dia seperti orang besar, berbeza ketika usia tiga dan empat tahun. Lara semakin menunjukkan apa yang dia mahu dan minat lakukan.

“Dia juga sudah pandai memilih pakaian apa yang disukai dan begitu juga dengan tema sambutan hari lahirnya. Dia yang mahu tema putera raja ini,” katanya.

Awal berkata, seiring peningkatan usia, Lara mula menunjukkan sifat pemalu namun apabila berhadapan orang ramai dan rakan-rakan dia pandai bawa diri.

“Sikapnya semakin pemalu dan tidak banyak bercakap apabila di rumah kerana dia lebih suka melakukan aktiviti sendirian, tetapi apabila di luar dan bermain dengan kawan-kawan, dia pandai berbual.

“Ciri-ciri sikapnya mengikut kami berdua, ada sedikit perangai Scha ada juga perangai saya. Memang semuanya sudah boleh nampak,” katanya lagi.

Mengulas mengenai perkembangan seni Lara, Awal dan Scha sebolehnya mahu peminat tahu Lara bukanlah selebriti, tetapi anak kepada selebriti.

“Kami mahu orang tahu Lara bukanlah selebriti dan kerana itu sejak setahun lalu kami sudah perlahankan aktiviti seninya. Tambahan pula dia sudah bersekolah dan pada usia lima tahun ini adalah waktu serius untuknya.

“Kami mahu dia fokus persekolahan, lagipun cikgu di sekolahnya sangat menitikberatkan soal kehadiran. Kami juga tidak mahu memaksa Lara melakukan perkara yang dia tidak suka.

“Kadang-kadang kami tertanya-tanya juga jika suatu hari nanti Lara meluahkan rasa yang dia tidak suka dengan apa yang dilakukan selama ini, kami harus terima,” kata Awal.

Scha berkata, kalau boleh dia mahu Lara fokus dengan persekolahan dan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi dan memilih kerjaya bersesuaian dengan apa yang dipelajari.

“Sebolehnya kami mahu dia melakukan kerja lain kerana kami tahu kerjaya seni ini tidak ada pendapatan tetap dan kita tidak tahu sejauh mana dia boleh pergi. Namun, jika Lara memilih untuk menurut jejak langkah kami, tiada halangan cuma kami mahu dia ada pendidikan.

“Jika dilihat sekarang Lara cenderung menyanyi dan kadang-kadang nada suaranya kena dengan lagu yang disampaikan,” katanya.

Sementara itu, mengulas persoalan orang ramai mengenai perbualan harian Lara yang banyak menggunakan bahasa Inggeris, Scha berkata, setiap hari mereka bertutur bahasa Melayu di rumah dengan Lara malah Scha kadangkala menggunakan loghat utara.

Bagaimanapun, disebabkan persekitaran Lara yang setiap hari menggunakan bahasa Inggeris, maka dia sudah terbiasa.

“Sejak usia 18 bulan lagi kami hantar Lara ke sekolah antarabangsa yang mana hari-hari bahasa perantaranya adalah Inggeris. Hari-hari Lara akan bercakap Inggeris dengan kawan-kawan di sekolah, begitu juga dengan pengasuhnya di rumah.

“Kadang-kadang dia berusaha untuk bercakap bahasa Melayu dan minta kami ajar dia. Ada juga beberapa perkataan yang sering diucapkan Lara.

“Kami sentiasa bantu dia untuk bertutur dalam bahasa Melayu dan perlahan-lahan dia sedang belajar,” kata Scha lagi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penambahan ahli keluarga, Scha berkata, dia sedang berusaha ke arah itu namun rezeki belum berpihak kepadanya lagi buat masa ini.

Kongsi Scha, setakat ini Lara belum pernah minta adik, tetapi berharap ada teman untuk bermain bersama.

“Saya berharap jika sudah ada adik nanti, dia dapat menerima kehadiran adiknya itu. Maklumlah sudah lima tahun dia berseorangan.

“Cuma, buat masa ini dia cemburu apabila melihat saya tiba-tiba dukung anak orang lain,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 5:00am
d