rap

Sufian Suhaimi, Jasmine Suraya saling meminati

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI Sufian Suhaimi, 27, dan pelakon Jasmine Suraya, 29, mengakui saling meminati sesama sendiri selama ini meskipun tidak pernah bersua.

Disebabkan itu, Sufian sanggup meluangkan masa untuk membuat kejutan pada majlis makan malam bersama peminat Jasmine baru-baru ini sehingga menjadi perbualan ramai.

“Saya memang tengok Liga Super Malaysia dan mengikuti sukan bola sepak negara. Jasmine adalah antara hos yang saya suka tengok sewaktu dia mengacarakan sebuah program bola sepak.

“Kalau ada apa-apa cerita keluar mengenai kami disebabkan video kejutan ini, saya anggap ia cuma cerita biasa. Benda tiada apa-apa, jadi saya rasa ia perkara biasa saja,” katanya.

Jasmine pula berkata, dia tidak menyangka akan mendapat kejutan berkenaan disebabkan dia sendiri adalah antara peminat penyanyi Di Matamu itu.

“Majlis ini sebenarnya adalah untuk menghargai peminat yang menyokong karier saya selama lima tahun. Nampaknya, mereka benar-benar berjaya membuat kejutan ini disebabkan tahu saya memang minat lagu Di Matamu.

“Tahun lalu, saya putus cinta dengan seorang lelaki dan perpisahan itu sangat menyakitkan. Bila saya dengar lagu itu, saya rasa sangat tersentuh dengan liriknya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut pelakon Paskal itu, dia juga menganggap kejutan berkenaan adalah sekadar sokongan rakan sesama industri.

“Mula-mula saya cuma minat lagu dia dan tak kenal siapa Sufian. Bila sudah kenal siapa dia, saya tak adalah sampai menyimpan perasaan mendalam terhadapnya.

“Ini pertama kali kami bersua dan disebabkan itu saya sangat terharu dan terkejut. Namun, saya akui sangat meminati lagu dan suaranya selain sukakan karakternya yang sangat suka membaca,” katanya.

Pada majlis itu, Sufian datang membawa kek dan sempat menyampaikan beberapa lagu termasuk Di Matamu di hadapan lebih 30 peminat Jasmine.

Meskipun pertama kali bersua, kemesraan antaranya dengan Jasmine diperkatakan ramai.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 4:43pm
d