rap

Album sulung Khai Bahar laris

Oleh Sudirman Mohd Tahir

ALBUM sulung penyanyi popular, Khai Bahar, Air Mata sudah terjual lebih 4,000 unit sejak mula diedarkan 21 Julai lalu.

Khai, 25, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, dia yakin 5,000 unit akan habis terjual dalam minggu ini selepas dilancarkan secara rasmi hari ini.

“Pihak NAR Records mengeluarkan 5,000 unit untuk cetakan pertama ini. Difahamkan, kalau habis, mereka akan buat cetakan seterusnya.

“Sejujurnya, saya tidak menjangka sambutan hebat diberikan untuk album pertama ini. Apatah lagi sekarang bukan trend penyanyi mengeluarkan album penuh selain kuasa membeli yang semakin berkurangan dalam kalangan peminat.

“Apa pun, saya berterima kasih dengan pihak NAR atas penerbitan album ini. Walaupun saya bukan lagi artis NAR, tapi mereka masih sudi merealisasikan impian ini,” katanya kepada Harian Metro.

Album Khai itu memuatkan 11 lagu yang mana lima daripadanya adalah lagu baru dan selebihnya single pernah dilancarkan sebelum ini.

Daripada lima lagu baru itu, tiga adalah ciptaan Khai sendiri iaitu Air Mata, Keranamu dan Dia manakala dua lagi lagu ciptaan Manusia Putih.

Dalam masa sama, Khai turut menjadi artis pertama dalam syarikat itu mendapat jumlah tontonan tertinggi muzik video (MV) menerusi lagu Luluh iaitu melebihi 44 juta sepanjang tempoh dua tahun.

Lagu ciptaan sepenuhnya Khai itu turut dipilih beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-33.

“Alhamdulillah, lagu ini masih orang nak dengar dan menonton MV,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 6:41pm
d