rap

Tauke tolak ego selamatkan rumah tangga

Oleh Najiy Jefri

“RUMAH tangga saya di ambang perpisahan ketika itu, namun berjaya diselamatkan,” kata pelawak Tauke yang bersyukur apabila dapat menempuhi dugaan dalam perkahwinan awal tahun ini.

Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 43, berkata, dia berjaya menyelamatkan rumah tangga yang dibina selepas berbincang secara baik dengan isteri dan menolak rasa ego.

“Alhamdulillah saya kini berada di fasa bahagia dan hubungan kami bertambah rapat. Saya akui kisah hitam yang berlaku awal tahun ini adalah satu ujian besar untuk kami.

"Ketika itu, saya menempuhi dua perkara pada waktu yang sama iaitu terbabit dengan program Maharaja Lawak Mega dan menghadapi masalah rumah tangga," katanya ketika ditemui pada majlis pra pelancaran gerai Mi Keren miliknya di FoodMonger, Tamarind Square, Cyberjaya, semalam.

Menurutnya, sebaik program terbabit tamat, dia mengajak isteri berbincang secara baik dan mereka bersepakat untuk memulihkan isu yang berlaku.

“Kadangkala wanita ini apabila marah dia akan bercakap tanpa berfikir panjang tapi jauh di sudut hatinya masih ada rasa sayang.

“Begitu juga dengan lelaki yang hanya berani cakap di mulut tapi hakikatnya dia menyayangi isterinya," katanya.

Menurut Tauke, dia mengakui banyak belajar daripada peristiwa yang menguji rumah tangganya itu.

“Jangan sesekali berkongsi masalah di laman sosial kalau nak rumah tangga kekal bahagia.

“Sebelum ini, isteri pernah berkongsi masalah di laman Instagram dan saya juga begitu. Malah kalau ada perkara yang tak puas hati, saya akan berkongsi perkara terbabit tetapi dalam cara sindiran.

"Bagaimanapun pengalaman lalu banyak mengajar saya iaitu jangan membawa masalah ke media sosial. Suami isteri seharusnya menyelesaikan dengan cara yang berhemah," katanya.

Sementara itu, Tauke yang kini muncul dengan perniagaan makanan berasaskan mi segera percaya bisnes yang diusahakan itu adalah persiapannya pada masa depan.

"Saya perlu ada perancangan yang rapi dalam industri seni ini. Tidak selamanya kita berada di atas.

“Jadi saya mula mengatur langkah dengan membabitkan diri dalam dunia perniagaan bersama seorang lagi rakan kongsi.

"Setakat ini, respons yang diterima sangat positif dan staf saya tidak menang tangan menerima tempahan di Food Monger, Cyberjaya,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 3:30pm
d