rap

Jasmine mahu bercinta semula

Oleh Georgie Joseph

PELAKON dan pengacara Jasmine Suraya mengakui pernah dicurangi dua lelaki sebelum ini dan kekasih terakhirnya memilih untuk berkahwin dengan wanita lain tahun lalu.

Jasmine, 29, berkata dia mengambil masa berbulan lamanya bagi mengembalikan semangatnya akibat perpisahan itu namun mengakui tidak pernah menutup hatinya untuk bercinta semula.

“Berbulan juga saya mengenali hati budi lelaki berkenaan sebelum bercinta selama lebih setahun. Saya ingat dia adalah calon yang terbaik namun rupanya tiada jodoh.

“Ibu sendiri pun sangat berharap saya akan mendirikan rumah tangga bersamanya. Namun, kami putus selepas mendapat tahu dia curang dan berkahwin dengan wanita lain.

“Lama juga saya nak ‘move on’ disebabkan perpisahan ini sangat menyakitkan. Namun, saya bersyukur semua itu ada hikmah di sebaliknya dan kini terbuka hati untuk bercinta semula,” katanya.

Menurutnya, dia juga mengambil pendekatan untuk tidak menunjuk kisah percintaannya di media sosial disebabkan lebih suka berkongsi hal yang lebih positif.

“Orang tidak perasan pun dan saya memang tak mahu langsung sesiapa dapat menghidu mengenai kesedihan yang dilalui. Lebih baik saya gunakan media sosial untuk kongsikan perkara positif.

“Tidak baiklah saya mengeluh dan tunjukkan emosi kepada umum. Saya memilih untuk menanggung sendiri kesakitan ini dan syukur kini semangat sudah pulih sepenuhnya,” katanya.

Selama lima tahun dalam industri, pelakon filem Paskal itu tidak pernah terpalit sebarang kontroversi panas. Bagaimanapun, dia tidak menafikan masih berdepan kritikan apabila berpakaian seksi.

“Saya rasa paling-paling pun isu mengenai berbaju seksi saja sentiasa dikritik. Ini disebabkan, masih ramai mungkin tidak tahu saya bukan Melayu dan bukan Islam.

“Apapun, saya tidak mahulah fikirkan sangat kalau ada pun kontroversi menimpa diri ini. Lebih baik saya fokus kepada kualiti lakonan,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 6:24pm
d