rap

Muaz sudah jumpa hala tuju

Oleh Norhayati Nordin

WALAUPUN namanya pernah terpinggir dan agak ketinggalan berbanding rakan seangkatan, Muaz Fitri tidak patah semangat.

Dia melihat peluang untuknya pasti ada jika terus yakin dan berusaha. Pandangan positif itu sangat membantu apabila bakat lakonan Muaz atau nama sebenarnya Muaz Aidil Fitri Maslan, 28, kini semakin mendapat perhatian penonton.

Ia dibuktikan Muaz selepas dia membintangi drama Cari Aku Di Syurga untuk slot Samarinda, TV3 pada Ramadan lalu.

“Syukur rezeki saya dalam bidang lakonan masih ada dan kini sudah menyiapkan beberapa drama. Saya pun tidak memilih watak. Asalkan sesuai dan yakin boleh dilakonkan dengan sebaik mungkin, saya terima saja.

“Bagaimanapun, penting untuk saya menjaga stamina diri. Ini kerana saya pernah bertubuh gempal suatu ketika dulu,” katanya.

Menurut Muaz, dia melihat perkembangan karier lakonan diceburi kerana minat kini semakin diterima penonton.

“Watak saya sebagai Cikgu Haikal dalam drama Cari Aku Di Syurga sedikit sebanyak membantu penonton mengingati semua siapa Muaz Fitri.

“Walaupun sudah lama terbabit dalam dunia lakonan, saya akui dulu kurang mendapat publisiti dan perhatian. Malah, ketika itu saya sendiri tercari-cari arah dan hala tuju dalam bidang ini. Namun, sekarang semua makin jelas,” katanya.

Muaz berkata, dia sangat berterima kasih kepada penonton yang menerima bakatnya dan memberi sokongan padu.

Sehubungan itu, antara drama terbaharu dibintangi Muaz yang akan menemui penonton ialah Dosa Semalam dan Pesan Dari Hati.

Sebelum ini Muaz juga pernah berlakon drama seperti Misiku Kuza musim pertama dan kedua di Astro serta Baby Ana Milik Siapa di TV3.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 4:30am
d