rap

Giliran orang muda geletek kita

Oleh Norhayati Nordin

SELEPAS kejayaan program pencarian bakat komedi, Raja Lawak yang diterbitkan selama tujuh musim, kini giliran Raja Lawak Junior pula. Mengetengahkan bakat komedi generasi baharu dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, Raja Lawak Junior mula ditayangkan pada 10 Ogos ini, jam 9 malam di saluran Astro Warna.

Seramai 10 peserta terpilih dengan enam daripadanya berlawak secara solo dan empat berkumpulan. Selama lapan minggu bersaing, persembahan komedi peserta akan dinilai tiga juri profesional iaitu Adibah Noor, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Peserta solo yang bertanding ialah Muhammad Hanif Fikri Mohamad Fazzil atau Hanif,15, dari Selangor, diikuti Alia Baiq Mirza Muntaz Baiq (Alia, 15, Kuala Lumpur), Wan Saiffizul Wan Aznezal (Saif, 13, Pulau Pinang), Muhammad Adam Mohd Dzayuzi (Adam, 13,Selangor), Muhammad Aqil Ahmad Nahar (Aqil, 10, Selangor) dan Muhammad Danish Haidir (Danish, 10, Selangor).

Peserta berkumpulan pula ialah kumpulan Three- A diwakili Mohd Hamyzan Johan atau Awang, 14, Abdu; Huzaimy Izhan Johan (Aimi) dan Mohd Adib Haziem Ifhan Johan (Adib, 9) dari Selangor, diikuti kumpulan Tojud diwakili Mohammad Adam Rayyan Heriyanto (Adam, 9), Luqman Hakim Haizul Izzat (Luqman, 9) dan Firdaus Safwan Haizul Izat (Daus, 8) dari Johor, kumpulan RNR diwakili Rifa Rasyidah Muhammad Rohaizad (Rifa, 11) dan Rahadatul Raisya Muhammad Rohaizat (Raisya, 8) dari Perak dan kumpulan Kepala Petak diwakili Muhammad Daniel Haiqal Mohd Ferdaus (Daniel, 11) dan Muhamad Aqil Umar Aisy Mohd Nazry (Umar, 8).

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata, inisiatif penerbitan program itu bertujuan membawa kelainan di arena gelanggang lawak tanah air.

“Memandangkan penonton mungkin sudah terbiasa dengan persembahan lawak dalam kalangan pelawak popular dan dikenali masa kini, sudah tiba masa untuk bakat lawak generasi baharu.

“Walaupun melawak tidak mudah, tetapi kehadiran bakat pelawak pelapis wajar diketengahkan sebagai pendedahan awal. Malah, melihat kepada tiga episod yang sudah dirakam, persembahan 10 peserta yang dipilih berentap nampaknya sangat positif.

“Mereka memiliki daya saing yang tinggi, kreatif dan paling menarik ada di antaranya mampu berlawak secara spontan,” katanya.

Norzeha berkata, dia yakin penonton akan terhibur kerana persembahan lawak dihasilkan peserta memang menarik.

Katanya, dia juga tidak menduga rata-rata peserta mudah memahami konsep lawak untuk tugasan mingguan mereka.

Merujuk kepada segelintir peserta yang didakwa mempunyai pertalian dengan beberapa bekas peserta Raja Lawak terdahulu, Norzeha tidak menafikan.

“Bagaimanapun, saya tegaskan pemilihan mereka (peserta) kerana bakat komedi dimiliki dan bukan dilihat kepada pertalian kekeluargaan dan peribadi.

“Kami tidak membuat pilihan kerana kroni. Sebaliknya, semua peserta dipilih sudah dinilai bakat mereka daripada uji bakat dilakukan,” katanya.

Juara Raja Lawak Junior akan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, diikuti naib juara RM10,000 dan ketiga RM8,000 manakala tempat keempat RM5,000.

CABARAN BERAT JURI

Membuat penilaian untuk bakat komedi kanak-kanak diakui bukan perkara mudah oleh penyanyi, pelakon dan pengacara berpengalaman, Adibah Noor.

Adibah berkata, dia berusaha sedaya upaya memberikan kritikan membina terhadap persembahan peserta di sebalik teguran yang memangkin semangat.

“Menjadi juri yang diberi tanggungjawab menilai dan mengkritik persembahan pelawak muda ini bagi saya cabaran berat. Ini kerana saya perlu sentiasa memastikan komen diberi mampu memberi mereka (peserta) semangat untuk terus bersaing.

“Biarpun perlu jujur dalam memberi komen kepada mereka, saya akan pastikan ia tidak sesekali menjatuhkan moral peserta. Setakat ini, saya dapati potensi persembahan diketengahkan sangat baik dan lebih mantap daripada pelawak masa kini,” katanya.

Adibah berkata, dia sebenarnya sangat kagum dengan setiap persembahan peserta Raja Lawak Junior walaupun masing-masing kurang pengalaman.

“Bagi saya, penting ada minat dan bakat. Ia bagi memudahkan potensi bakat dalam diri dipersembahkan untuk digilap. Sebagai juri, saya yakin dengan bakat semua peserta dan untuk itu tidak mudah membuat keputusan penyingkiran,” katanya.

Bagi menghangatkan pentas gelanggang Raja Lawak Junior, dua pengacara 'sekepala' bergabung iaitu Ajak Shiro dan Ain Edruce.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 5:00am
d