rap

Ashraf Muslim tunai haji

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“MAAFKAN ayah sayang-sayangku. Ayah pergi sekejap saja. Kita jumpa nanti ya. Jangan sedih dan risau. Sayang awak semua,” luah pelakon, Ashraf Muslim kepada dua isteri dan empat anaknya sebelum berangkat menunaikan ibadah haji pagi ini.

Ashraf, 38, atau nama sebenarnya Mohd Ashraf Muslim berkata, dia akan berada di Makkah dan Madinah selama 40 hari.

Menerusi status dimuat naik di Instagram, Ashraf bersyukur kerana dapat menjadi tetamu Allah SWT bagi mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

“Alhamdulillah dan terima kasih Allah. Dengan rasa rendah diri saya memohon maaf kepada ahli keluarga, sahabat dan kenalan yang mengenali diri serta halalkan makan minum.

“Tepat jam 9 pagi ini bermulalah pengembaraan saya ke Tanah Suci selama 40 hari meninggalkan ahli keluarga dan sahabat serta harta benda sementara waktu untuk menjalankan tanggungjawab yang paling agung.

“Doakan saya supaya mendapat haji mabrur dan diberi kesihatan yang cukup di sana,” katanya.

Menerusi status sama, Ashraf memohon doa semua supaya kedua isteri dan anaknya sentiasa dalam lindungan sepanjang ketiadaannya.

“Doakan juga isteri-isteri dan anak-anak serta harta benda saya sentiasa dilindungi Allah SWT.

“Saya amat berterima kasih kepada ayah, Muslim dan arwah ibu, Farilah Azil kerana kesungguhan mereka serta izin Allah saya dapat menunaikan haji.

“Sedih, hiba dan rindu semua ada waktu ini hanya Allah saja tahu. Tapi inilah dinamakan pengorbanan bukan saya saja perlu lakukan malah orang sekeliling yang menyayangiku,” katanya.

Selain Ashraf, antara artis lain yang bakal menunaikan ibadah haji adalah Erra Fazira, Fizo Omar, Neelofa dan Datin Seri Umie Aida.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 3:54pm
d