rap

Kaki Haziq tunjuk pemulihan positif

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI Linda Eva, 42, menarik nafas lega dan mengungkap rasa syukur kepada Allah SWT kerana proses pemulihan kaki kanan anaknya, Haziq, 19, sangat positif.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kaki kanan Haziq atau nama sebenar Muhammad Haziq Hasbullah yang juga bekas vokalis Putera Band mengalami kecederaan serius akibat salur darah putus ketika kemalangan motosikal di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu.

Disebabkan kecederaan teruk dialami termasuk berlubang di bahagian belakang lutut, doktor pernah mengesyorkan supaya kaki kanan Haziq dipotong untuk mengelakkan jangkitan kuman pada luka dan menyelamatkan nyawanya.

Linda atau nama sebenar Norhaslinda Ishak yang nekad mencari rawatan alternatif untuk mengelakkan kaki anaknya dipotong menemui beberapa kaedah rawatan termasuk suntikan plasenta biri-biri.

"Selepas berbincang semula dengan keluarga, saya akhirnya memilih tidak menggunakan kaedah rawatan suntikan plasenta biri-biri ini kerana tidak sesuai dengan kecederaan serius dialami dan kos terlalu tinggi.

"Kini, Haziq dibawa menjalani rawatan secara Terapi Oksigen Hyperbaric di sebuah pusat perubatan di Titiwangsa, Kuala Lumpur yang memerlukan keseluruhan rawatan dilakukan sebanyak 40 pusingan.

"Alhamdulillah selepas dua pusingan rawatan dijalani Haziq, ia menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

Menurutnya, kulit hitam termasuk jari kaki kanan Haziq sudah menerima darah daripada urat.

"Bahagian kaki kanan juga sudah nampak merah dan kaki Haziq pun dah kembali normal kerana bengkak semakin kurang.

"Selain itu, jari hitam sudah boleh bertindak balas dan Haziq dapat rasa sakit apabila disentuh," katanya.

Ditanya mengenai kos rawatan, Linda berkata, ia berjumlah RM350 untuk sekali rawatan. Justeru, bagi 40 pusingan rawatan anggaran kos diperlukan ialah RM12,000.

Katanya, dia kini masih kekurangan kira-kira RM6,000 bagi membiayai kos rawatan anaknya itu.

“Begitupun, saya bersyukur kerana ada juga rakan artis ingin membantu dengan mengadakan persembahan amal 'Busking Permata Kasih Untukmu' pada jam 9 malam esok di Uptown Kota Damansara," katanya.

Katanya, antara artis terbabit ialah Aiman Tino, Farah Hazel, Yazid Idzham, Projector Band, Heedan Mohd dan Amir Harisz.

Berita berkaitan

Tak nak kaki Haziq dipotong - Linda Eva

Saya nak berjalan semula - Haziq [METROTV]

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 4:18pm
d