rap

Effa rai ulang tahun S Atan kerana hormat

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“IKUTKAN saya tak nak datang, tapi memikirkan majlis ini dibuat istimewa untuk abang Atan (S Atan), jadi saya hadirkan diri.

“Ia adalah majlis meraikan ulang tahun dia dan populariti saya bermula dengan lagunya iaitu Rasa Hati. Justeru kehadiran saya bertujuan menghargai abang Atan,” kata penyanyi Datin Effa Rizan, 57, ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran ke-70 komposer S Atan di Restoran Tanjung Puteri, Sri Hartamas, malam tadi.

Effa mengakui mulanya serba salah untuk hadir kerana bimbang dikecam masyarakat memandangkan masih dalam tempoh edah selepas kematian suaminya, Datuk Dhalan Zainuddin pada 28 Mei lalu.

“Mulanya memang berat hati, namun saya terpaksa akur apabila isteri abang Atan, Izan (Norizan Yeob) berulang kali menghubungi mengajak ke majlis yang diadakan.

“Itu sahaja yang saya setuju buat masa ini kerana takkan terima tawaran menyanyi dalam masa terdekat.

"Sebelum ini memang ada tawaran menyanyi untuk persembahan pada Syawal, tapi apabila abang meninggal, saya tolak semuanya," katanya.

Effa berkata, dia akan menunggu selama 100 hari atau empat bulan sebelum kembali menyanyi seperti biasa.

"Daripada duduk rumah begitu saja, ada baiknya saya menyanyi untuk cari rezeki.

"Bukanlah anak tak bantu, tapi saya nak juga cari duit sendiri selain dapat berkawan.

"Pada umur beginilah, kita perlu menjalinkan silaturahim dengan mereka. Kalau tak keluar, nanti otak kita tepu dan asyik ingatkan arwah," katanya.

Menurutnya, biarpun sudah lebih dua bulan berlalu, dia masih terkesan dengan kematian Dhalan.

"Memang masih terasa kehilangan dia kerana kami hidup bersama selama 43 tahun.

"Sebelum abang meninggal pun, empat tahun saya jaga dia ketika sakit.

"Saya bawa dia berulang alik ke hospital seminggu tiga atau empat kali. Apabila dia tiada, saya rasa kosong," katanya.

Effa berkata, dia cuba mengisi kekosongan dengan menyibukkan diri menghantar anak bongsunya, Nur Athinia Ines, 24, ke tempat kerja.

"Saya kini tinggal berdua dengan Ines. Memandangkan kemudahan pengangkutan awam di kawasan kediaman kami agak kurang, saya hantar dan ambil dia ke tempat kerja.

"Saya juga akan pastikan setiap minggu pergi kubur arwah terutama pada Ahad dengan Ines.

"Sekiranya rasa nak pergi, kami akan pergi," katanya.

Menurutnya, dia juga akan menghilangkan kerinduan terhadap suami dengan melayan nyanyian Dhalan serta menonton kembali rakaman siaran langsung acara pengebumian suaminya di YouTube.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 4:50pm
d