rap

Rosli buat kelas gitar

Oleh Riadz Radzi

DALAM Konsert Reunion Sweet Charity di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1996, Datuk Ramli Sarip memanggilnya ‘Puntianak Singapore’ kerana pada satu ketika dulu, rambutnya pernah mencecah paras pinggang.

Itulah Rosli Mohalim, pemain gitar Sweet Charity yang aktif bersama band rock itu sejak awal 70-an. Dalam kalangan peminat muzik rock, dia adalah ‘guitar hero’.

Kini pada usia 64 tahun, Rosli terus gigih sebagai pemain gitar. Daripada Sweet Charity, mengiringi persembahan penyanyi tanah air sehinggalah bermain muzik di jalanan, Rosli tetap setia bersama gitarnya.

Terkini, Rosli mahu mencurahkan ilmu gitar kepada mana-mana individu yang minat bermain gitar.

Kelas Guitar 101 Rosli Mohalim yang dikendalikan menerusi dalam talian itu sudah dimulakan sejak April lalu.

Rosli ketika ditemui berkata, kelas gitar berkenaan adalah yang paling asas dan sesuai untuk sesiapa yang baru berjinak-jinak dengan gitar.

“Sesiapa yang menyertai kelas ini akan bermula dengan kosong. Mereka akan diajar mengenali gitar merangkumi jenis gitar dan fungsi setiap bahagiannya.

Mereka juga akan diajar cara memegang gitar dengan betul, posisi tangan dan cara duduk,” katanya.

Apa yang menarik, Rosli memberi jaminan sesiapa yang menyertai kelas ini mampu untuk bermain gitar secara asas dalam tempoh enam bulan.

“Dalam tempoh enam bulan, peserta mampu bermain skala asas, ‘strumming’ dan kord asas,” katanya.

Kelas Guitar 101 Rosli Mohalim ini menyediakan dua pakej iaitu untuk tempoh enam bulan dan sembilan bulan. Yuran untuk pakej enam bulan ialah RM150 dan RM210 untuk sembilan bulan.

“Ini adalah kelas gitar paling mudah dan murah setakat ini. Anda juga tidak perlu menghadiri kelas dan belajar secara berdepan serta boleh dipelajari di mana-mana saja menerusi komputer peribadi, komputer riba atau telefon pintar,” katanya.

Kelas Guitar 101 Rosli Mohalim disusun lengkap dengan 12 modul bersama lebih 80 video tutorial.

“Setiap modul dilengkapi video tutorial, nota termasuk ujian. Sesiapa yang berjaya menghabiskan kelas ini turut diberikan e-sijil dengan tandatangan saya.

“Walaupun ia dijalankan secara ‘online’, peserta boleh berinteraksi, berkongsi video dan bertukar-tukar idea. Ia berbeza dengan kelas gitar percuma lain yang banyak di YouTube, kelas Guitar 101 Rosli Mohalim dibuat dengan lebih tersusun,” katanya.

Rosli berkata, tujuan dia memulakan kelas berkenaan adalah kerana mahu berkongsi pengalamannya sebagai pemain gitar.

“Kalau nak belajar bermain gitar, biarlah dengan cara yang betul. Saya bimbang jika kita tidak bermula dari asas, ia akan memberi kesan terhadap permainan gitar kita pada masa depan.

“Biasanya, setiap pemain gitar mesti mahu melakukan solo. Jadi, mereka akan terus ke bahagian solo. Dalam permainan gitar, solo itu sudah di tahap ke hadapan. Apabila itu berlaku, mereka tidak belajar asas bermain gitar. Kesannya ialah mereka kurang pengetahuan mengenai kord, not dan skala. Untuk menjadi pemain gitar yang baik, mesti ada asas mengenai kord, not dan skala,” katanya.

Modul kelas Guitar 101 Rosli Mohalim dibangunkan oleh CRM Inovasi Sdn Bhd dengan kerjasama Rosli Mohalim. Maklumat lanjut mengenai kelas ini boleh didapati menerusi www.crminovasi.com.

Sementara itu, Pengarah Urusan CRM Inovasi, Kamaruddin Ibrahim berkata, Rosli mengambil masa lebih tiga bulan untuk menyiapkan modul berkenaan.

“Kami ada kepakaran dalam bidang digital manakala Rosli pakar sebagai pemain gitar. Kami gabungkan kedua-duanya untuk mewujudkan kelas ini.

“Rosli menjadi pilihan kerana dia adalah antara pemain gitar legenda di Malaysia dan Singapura. Rosli mungkin juga satu-satunya pemain gitar ‘old timer’ yang masih aktif hari ini,” katanya.

Kamaruddin berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi bagi mempromosikan program berkenaan kepada penuntut.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 4:00am
d