rap

Terpulang nak panggil Hajah ke Wany saja

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

"SEBAIK pulang nanti, terpulanglah jika mahu memanggil saya Hajah. Jika tidak, panggil saja Wany Hasrita," kata penyanyi, Wany Hasrita atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 27, yang akan berangkat menunaikan haji ke Tanah Suci Makkah esok.

Wany berkata, dia akan menunaikan Rukun Islam kelima itu sehingga 16 Ogos ini bersama rakan penyanyi, Amira Othman.

Menurutnya, tawaran itu diterimanya daripada kerajaan Arab Saudi, kelmarin dan sudah diberikan tiket penerbangan, semalam.

"Mengikut perancangan awal, saya mahu membawa ibu tetapi dia tidak berkesempatan. Jadi, saya mengajak Amira dan ia pengalaman pertama menunaikan ibadah ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, dia tiada pengalaman menunaikan umrah sebelum ini menyebabkan perasaannya bercampur baur.

"Jadi, saya meminta bantuan rakan artis, Heliza Helmi untuk mendapatkan nasihat ustaz yang mengendalikan kursus haji secara peribadi," katanya.

Katanya, dia turut mendapatkan nasihat penceramah terkenal, Profesor Dr Muhaya Mohamad berhubung panduan sepanjang berada di Makkah.

Bagi persediaan lain katanya, dia sudah melakukan suntikan vaksin dan berharap Allah SWT memudahkan urusannya.

"Doa saya adalah memperoleh haji mabrur. Sebenarnya saya dalam keadaan tidak bersedia namun sebaik berfikir semula perlukah bila menjengah usia tua baru bersedia," katanya.

Wany ketika diusik berkata, dia tidak kisah sekiranya dipanggil dengan gelaran Hajah ketika berusia 27 tahun.

"Saya sedar seorang penyanyi. Boleh gelar saya sebagai Hajah dan ia juga satu doa yang amat baik," katanya.

Sebaik pulang kelak Wany berkata, dia tidak semestinya meninggalkan dunia seni sebaliknya mahu perubahan sedikit demi sedikit.

"Segala isi hati dan amal ibadah biarlah Allah yang menentukan. Saya merasakan seperti mimpi dan tidak pernah terfikir untuk menunaikan haji dalam usia sebegini," katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 3:36pm
d