rap

'Sesekali berilah watak baik'

Oleh Norhayati Nordin

WATAK antagonis sebagai Inara dalam drama Suri Hati Mr Pilot cukup membantu pengacara Eleena Sui, 27, memahat nama dan bakat sebagai pelakon.

Namun, saat namanya mendapat perhatian dalam karier lakonan, Eleena membuat pilihan untuk memberi keutamaan kepada rumah tangga dibina pada Februari 2017.

Eleena yang bertemu jodoh dengan Ahmad Faisya Mohd Bustaman, 32, mengikut suami tercinta bertugas ke sebuah negara di timur laut Afrika.

Berhijrah seketika pada September tahun lalu, Eleena yang pernah membintangi drama Sayang Papa Saya Tak? pulang ke tanah air Februari lalu.

Menurut Eleena atau nama sebenarnya Nor Eleena Hamzah, pengalaman hidup di luar negara sangat mencabar dan dia bersyukur dilahirkan sebagai warganegara Malaysia.

“Selama lima bulan mengikut suami bertugas di luar negara, sukar untuk saya menyesuaikan diri dengan keadaan kehidupan di negara berkenaan.

“Apa yang paling saya rindui adalah masa bersama keluarga. Ini kerana saya tidak pernah berjauhan lama-lama dengan keluarga.

“Selain itu, faktor pemakanan. Di Malaysia, banyak makanan enak yang boleh dinikmati malah bebas ke mana sahaja tanpa perasaan takut,” katanya.

Mengulas perancangan karier seninya, Eleena berkata, kini dia bersama syarikat pengurusan bakat rancak mencari peluang dan mengatur jadual kerja.

“Memandangkan baru nak kembali aktif berlakon, kami sedang meneliti beberapa tawaran berlakon.

“Ada yang perlu dipertimbangkan antaranya watak kerana kalau boleh saya tidak mahu dibayangi karakter antagonis saja,” katanya.

Eleena berkata, seboleh mungkin dia mahu mempelbagaikan watak termasuk protagonis.

“Saya tidak mahu dikenali dengan watak gelap saja. Sebaik-baiknya, diselang-seli juga dengan karakter baik supaya keseimbangan watak itu terserlah.

“Apatah lagi saya kini sudah berumah tangga. Jadi, penting juga untuk saya memilih watak sesuai dengan status diri untuk dilakonkan,” katanya.

Bagaimanapun, Eleena berkata suaminya tidak menghalang dia melakonkan watak antagonis cuma biarlah berpada-pada.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 4:00am
d