rap

Hayati semangat cinta negara

Oleh Syafil Syazwan Jefri

MUZIK mampu menjadi platform untuk mendidik dan memupuk semangat cintakan negara. Bagi penyanyi popular, Datuk Zainal Abidin, dia sendiri kerap memperjuangkan lagu yang mampu memberi semangat dan impak positif kepada pendengar.

Terkini, Zainal hadir dengan single berjudul Ayuhlah yang juga runut bunyi untuk filem Suatu Ketika.

Menurut Zainal, Ayuhlah adalah lagu yang dihasilkannya untuk mengajak penonton menghayati semangat cintakan negara dan menyatukan pelbagai kaum.

“Apabila saya menonton filem ini, saya dapat rasakan semangat kanak-kanak yang berlakon dalam filem ini. Jika dilihat secara dasar, filem ini mengenai sekumpulan kanak-kanak pelbagai bangsa, bermain bola sepak dan ingin mengejar kemenangan.

“Namun, dari sudut lain, sebenarnya banyak mesej positif yang ingin disampaikan. Dari sudut tersirat, filem ini sebenarnya mengajak masyarakat melihat semangat kanak-kanak berbeza bangsa dan agama menunjukkan perpaduan kepada pihak British,” katanya.

Dari segi lirik, Zainal menyelitkan beberapa mesej positif buat pendengar.

“Saya beritahu pendengar supaya mereka tidak mudah berputus asa. Bukan senang untuk menang dan tak salah kalau kita kalah. Yang penting, kita perlu berusaha untuk bangkit semula dan lakukan lebih baik,” katanya.

Mendapat sentuhan penggubah muzik terkenal Michael Veerapen, lagu ini masih mengekalkan identiti muzik Zainal.

“Sebelum ini, saya pernah hasilkan dua lagu runut bunyi untuk filem animasi Tarzan versi bahasa Melayu dan Silat Lagenda. Jadi, ini adalah runut bunyi ketiga dan identiti muzik saya masih dikekalkan.

“Itu adalah satu elemen yang membuatkan saya berbeza berbanding artis lain. Orang dengar muzik dan suara saya, orang sudah boleh tahu ini adalah lagu nyanyian saya,” katanya.

Di YouTube, video muzik Ayuhlah sudah dimuat naik sejak 1 Ogos lalu dan mula mencuri perhatian penonton dan peminat filem.

Suatu Ketika dibintangi barisan pelakon hebat tanah air antaranya Nam Ron dan Pekin Ibrahim sebagai teraju utama.

Selain Ayuhlah, Zainal juga bakal beraksi bersama kumpulan lamanya, Headwind di Hard Rock Cafe Pulau Pinang untuk menjayakan acara ulang tahun ke-10 Hotel Hard Rock Cafe di sana.

“Ini adalah atas permintaan pihak Hard Rock Cafe dan insya-Allah, menjelang September saya akan bersatu dengan Headwind di atas satu pentas,” katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 5:00am
d