rap

Syazwan bertunang 31 Ogos ini

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON Syazwan Zulkifly, 32, akan bertunang dengan wanita pilihan yang bertugas sebagai pramugari, Syawariah Zulkifli, 32, pada 31 Ogos ini di Taiping, Perak.

Syazwan berkata, sudah tiba masa dia melangkah ke fasa lebih serius dalam hubungan percintaan.

"Saya anggap sudah sampai seru untuk bertunang. Apatah lagi, kami sudah berkenalan lebih sembilan tahun dan usia masing-masing pun sudah matang.

"Lagi pun, ibu bapa saya sudah berusia dan mereka masih kuat lagi. Jadi, saya fikir ini masanya untuk membahagiakan mereka," katanya ketika ditemui hari ini.

Pelakon drama Pujaan Hati Kanda yang popular dengan watak Pali itu bagaimanapun tidak menetapkan berapa lama tempoh pertunangan itu.

"Buat masa ini, kami sepakat untuk mengikat pertunangan dahulu. Bagi tarikh kahwin, belum diputuskan. Biarlah majlis tunang berlangsung.

"Apapun, saya memilih Syawariah kerana dia seorang yang sangat memahami. Dia menerima saya dan pembabitan dalam karier seni ini seadanya," katanya.

Ditanya mengenai dirinya yang dicop 'budak jahat' kerana pernah didakwa panas baran, Syazwan berkata, dia menerima gelaran itu dengan hati terbuka.

"Apa yang orang nak kata biarlah. Apa yang pasti, keluarga dan bakal tunang kenal siapa diri saya sebenar. Saya pun tidak pernah berkasar dengan Syawariah.

"Cuma, untuk lakonan terutama drama memang saya sering mendapat watak antagonis yang menjurus pada sisi 'budak jahat' itu," katanya.

Menyentuh dugaan bertunang, Syazwan berkata, dia menyerahkan pada ketentuan Yang Esa. Apapun, katanya dia yakin ikatan pertunangannya tidak berhadapan masalah.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 9:34pm
d