rap

Ayda Jebat cipta sejarah nyanyi dalam pesawat

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Ayda Jebat mencipta sejarah apabila persembahan mini pertamanya yang diadakan dalam pesawat AirAsia penerbangan AK5106 dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah diiktiraf sebagai Persembahan Muzik Secara Langsung Di Latitude Paling Tinggi (38,000 kaki di atas paras laut) oleh Malaysia Book Of Records hari ini.

Ayda ketika ditemui berkata, dia berasa teruja dan berbangga dengan pengiktirafan itu kerana diberikan peluang menjadi sebahagian daripada misi mencipta rekod berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Cuaca hari ini juga baik.

“Saya berasa gembira kerana mendapat pengalaman baru yang tidak pernah difikirkan sebelum ini. Maklumlah, menyanyi di dalam pesawat yang sedang terbang di awan biru.

“Selain itu, saya terharu kerana penumpang pesawat turut sudi menyanyi bersama walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa,” katanya.

Menurutnya, melihat majoriti penumpang adalah berbangsa Cina, dia tidak melepaskan peluang menghiburkan mereka menerusi lagu Xin Tai Ruan.

“Saya berasa teruja apabila dapat menyanyikan tiga lagu pada acara ini termasuk lagu Pencuri Hati dan Temberang,” katanya.

Kejayaan terbabit turut dikongsi oleh Shadow Puppet Theatre yang turut sama memeriahkan persembahan itu.

Persembahan mereka turut disaksikan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Ahmad Shah Tambakau dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book Of Records, Datuk Michael Tio.

Persembahan itu adalah sebahagian daripada aktiviti sempena Minggu Muzik Malaysia 2019 (MM2019) yang dianjurkan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 serta mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 3:41pm
d