rap

Yazit terima anugerah Ikon Seniman Setiawangsa

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BEKAS pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, 57, mengakui terharu mendapat pengiktirafan sebagai Ikon Seniman Setiawangsa daripada Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dia bersama bekas ahli bina badan serta pelakon, Datuk Malek Noor menerima pengiktirafan itu pada majlis yang berlangsung di Wangsa Walk, Kuala Lumpur malam tadi.

Yazit yang mengalami masalah buah pinggang sejak lebih 10 tahun lalu dan perlu menjalani proses dialisis tiga kali seminggu berkata, pengiktirafan itu sesuatu yang tidak dijangka olehnya.

“Saya dah lama menetap di Setiawangsa dan beliau (Nik Nazmi) melihat jasa kami mengharumkan nama kawasan ini.

“Tiada apa yang dapat saya katakan kecuali terima kasih atas sikap prihatinnya.

“Saya sudah diberitahu perkara ini dari awal lagi. Ingatkan majlisnya biasa, tapi tak sangka ia meriah dan dihadiri ramai pengunjung serta peminat,” katanya kepada Harian Metro.

Yazit menerima sumbangan berupa wang tunai dan dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan untuk proses rawatannya.

“Seperti biasa saya kena lalui rutin buat dialisis seperti yang dijadualkan. Sudah kehidupan saya sebegini dan tiada apa yang nak difikirkan lagi.

“Selain itu saya masih lagi terbabit dengan beberapa showcase kecil-kecilan dan pada 30 Ogos nanti akan beraksi di Klang untuk persembahan menyambut ulang tahun Hari Merdeka.

“Saya akan bermain dram mengiringi persembahan penyanyi tiga beradik yang menamakan kumpulan mereka Fenomena,” katanya.

Yazit berkata, dia sering terbabit dengan persembahan di Klang dan peminat di sana juga menyukainya.

“Alhamdulillah, dapatlah juga wang untuk kegunaan seharian. Saya tak demand berkenaan bayaran.

“Daripada tiada langsung, ada baiknya saya terima tawaran begini. Lagipun saya beraksi sekitar tiga atau empat lagu sahaja,” katanya.

Yazit memerlukan kira-kira RM3,000 sebulan merangkumi kos dialisis, pengangkutan, petrol, ubat tambahan dan perbelanjaan harian.

Dia mendapat bantuan rawatan dialisis daripada Baitulmal selain memperolehi sumber kewangan dengan bermain muzik bersama kumpulan buskers di sekitar Kuala Lumpur.

Pada 11 Mei lalu, Yazit dikunjungi oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediaman anaknya di Wangsa Maju.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 8:18pm
d