rap

Westlife tinggalkan memori terindah buat peminat

Oleh Georgie Joseph

TIADA perkataan selain menakjubkan untuk menggambarkan konsert Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ in Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 7,000 penonton di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, malam ini.

Kuartet Westlife yang dianggotai Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan dan Mark Feehily bukan saja menampilkan persembahan bertenaga, malah keseluruhan produksi konsert itu sememangnya mega.

Kumpulan dari Ireland itu ternyata memberikan 200 peratus tenaga pada persembahan mereka sebagai tanda terima kasih khususnya buat peminat di negara ini.

“Sejak dari kecil, kami pernah rasa terabai dan hanya mampu menyimpan angan-angan besar untuk berjaya. Kami tidak terfikir pun akan dapat datang ke Kuala Lumpur seperti hari ini.

“Terima kasih kepada setiap seorang kamu kerana merealisasikan impian kami. Disebabkan kamulah kami dapat menjelajah dunia dan sangat terharu kebajikan kami dijaga rapi sejak turun dari pesawat,” kata Kian.

Westlife juga mengakui mahu meninggalkan memori terindah buat semua sebagaimana diberikan peminat sepanjang 22 tahun kerjaya mereka.

“Tanpa kamu semua, kami bukan siapa-siapa. Semoga malam ini menjadi memori terindah buat kamu dan pastinya kami juga.

“Terima kasih atas sokongan kamu setiap kali kami berkunjung ke sini,” kata Shane pula.

Konsert berkenaan yang berlangsung hari ini dan esok adalah sebahagian daripada siri jelajah Westlife di seluruh dunia. Konsert itu adalah bagi meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu.

Kumpulan berkenaan memukau penonton menerusi lagu popular mereka termasuklah If I Let You Go, Flying Without Wings, World of Our Own, My Love, World of Our Own, Queen of My Heart, Uptown Girl, I Have A Dream, Swear It Again, medley lagu Queen dan banyak lagi.

Kumpulan itu cukup popular pada penghujung 1990-an dan awal 2000. Bagaimanapun, pada 2012 kumpulan itu dibubarkan manakala seorang anggotanya iaitu Brian McFadden sudah terlebih dulu keluar daripada Westlife pada 2004.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 11:11pm
d