rap

Bukan karya 'syok sendiri'

Oleh Ardini Sophia Sina

PASANGAN Amai Kamarudin dan isterinya, Elanie Aidid yang juga pemilik syarikat penerbitan Mil­lionaire Films Production sepakat cuba mengembalikan kegemilangan filem genre seram dengan latar masa 1980-an menerusi Amukan Kuntilanak.

Filem arahan Shuhaimi Zulkifle itu turut diterajui mereka berdua dan pelakon seperti Zulhuzaimy, Shah Iskandar, Syed Ali, Azzahra Ahmad serta peserta Mentor Otai, AJ Azril.

Bakal memulakan penggambaran pada November ini dan ditayangkan sekitar Ogos tahun depan, Elanie menegaskan filem terbitan mereka ini bukanlah karya ‘syok’ sendiri.

“Sebenarnya, watak heroin dalam filem ini adalah untuk orang lain tetapi pengarah minta saya lakonkan sendiri kerana dia berasakan muka saya ada ‘look’ klasik dan sesuai lakonkan watak itu.

“Sebenarnya saya bimbang untuk berlakon dalam filem ini. Ini kerana saya juga penerbit dan penulis skrip. Namun, banyak kelebihan juga jika turut berlakon sama kerana mudah untuk menyusun jadual,” katanya.

Menurut Elanie, paparan jalan cerita karya itu mungkin ada persamaan dengan kisah seram lain tetapi ia juga adalah gabungan daripada hasil kaji selidik yang dijalankan.

Dia ada bertanya beberapa orang yang pernah merasai pengalaman berdepan makhluk halus berkenaan kemudian diolah sebagai jalan cerita.

“Saya tidak mahu paparkan cerita yang apabila sebut hantu mesti bermain dengan banyak darah. Saya sampaikan emosi dan cuba bentuk karakter hantu itu berdasarkan kajian yang saya buat.

“Pengarah sendiri pernah berhadapan kejadian mistik apabila isterinya dirasuk hantu. Kisah itu juga saya ambil dan selitkan dalam babak Amukan Kuntilanak,” kata Elanie.

Walaupun suami isteri, Amai dan Elanie tetap profesional ketika bekerja. Mereka tidak mencampuradukkan peribadi dan kerja. Malah, ketika di rumah mereka turut berkongsi idea.

Sementara itu, Amai berkata, bekerja dengan isteri lebih mudah kerana tidak ada kekangan. Babak bersentuhan juga tidak menjadi masalah sekali gus membantu menguatkan lagi jalan cerita.

“Kami cuba asingkan antara kerja dan hal peribadi tetapi kadang-kadang terbawa juga cerita kerja di rumah. Seronok dapat berkongsi idea dan mempunyai minat yang sama.

“Namun, apabila kami sedar terlalu banyak bercakap mengenai kerja, kami cepat-cepat tukar topik. Kalau boleh, kami mahu berehat di rumah tanpa sebarang cerita mengenai kerja,” katanya.

Mendirikan rumah tangga tahun lalu, Amai berkata, Elanie hamil selepas lima bulan mendirikan rumah tangga namun rezeki menimang cahaya mata belum tiba apabila isterinya keguguran.

“Ketika itu kami sedang bulan madu, Elanie tiba-tiba mengalami pendarahan dan ketika itu dia tidak tahu sudah hamil sembilan minggu. Tidak mengapalah, belum ada rezeki kami,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 5:00am
d