rap

Kulit album Rojak dilukis di dinding

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Faizal Tahir mengungkapkan rasa syukur apabila kulit album terbaru yang juga album terakhirnya, Rojak diabadikan sebagai lukisan mural di dinding bangunan berhampiran Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Menurut penyanyi lagu Ragaman itu, idea untuk mengabadikan kulit album sebagai mural gergasi itu adalah daripada pihak Warner Music Malaysia selaku pengedar albumnya.

"Alhamdulillah. Saya rasa sangat berbesar hati dan pada masa sama, rasa rendah diri dengan lukisan mural ini.

“Saya berikan 100 peratus kredit dan ucapan terima kasih kepada Warner Music Malaysia," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, ada mesej yang ingin disampaikan di sebalik lukisan mural itu dan baginya, satu hadiah buat peminat yang sentiasa menyokong sepanjang kerjaya seninya berlangsung.

"Lukisan mural ini umpama satu hadiah daripada saya buat peminat dan rakyat Malaysia. Saya harap, ia bukan sekadar lukisan, tetapi peminat dan setiap yang melihatnya dapat memahami mesej ingin disampaikan.

"Seperti yang saya terangkan sebelum ini, Rojak itu sendiri pun seperti simbolik untuk masyarakat majmuk di Malaysia dan dari lukisan itu, saya sampaikan mesej yang sama," katanya.

Faizal berkata, dia juga ada menerima banyak gambar daripada peminat yang berkongsi di media sosial.

"Ada yang menghantar kepada saya dan 'tag' di media sosial. Insya-Allah, saya akan kumpulkan semuanya dan jadikan dalam bentuk video sebelum dikongsikan di Instagram," katanya.

Di Twitter, Faizal berkongsi foto lukisan mural itu dengan kapsyen rasa bersyukur.

"Saya sangat berbesar hati dan rasa penuh rendah diri melihat kulit album #ROJAK di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

"Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan saya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah," tulisnya.

Karya itu dilukis oleh pelukis terkenal, Katun atau nama sebenarnya Ab Hafiz Ab Rahman dan mengambil masa dua hari untuk disiapkan.

Faizal turut menandatangani lukisan itu dengan disaksikan oleh Penyelaras Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Marzuki Ahmad.

Album Rojak dilancarkan pada 2 Ogos lalu menampilkan sembilan lagu dengan genre berbeza dalam satu album antaranya, Ragaman, Bisa Aja, Starfeather dan terbaru, Ratu.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 5:54pm
d