rap

Cari agensi haji berpengalaman - Riz

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENCERAMAH bebas dan juga pelakon Haris Ismail atau Riz, lega akhirnya dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci walaupun berdepan dengan masalah memperoleh visa agak lewat sebelum itu.

Riz yang dihubungi dari Makkah berkata, dia memperoleh visa sehari sebelum berlepas pada Rabu lalu iaitu hari terakhir jemaah haji bertolak.

Pelakon dan pengacara popular, Neelofa yang berhadapan dengan masalah sama juga bertolak pada tarikh sama, sebelah malam.

Menjelaskan situasi yang berlaku, pelakon drama bersiri Selafaz Rindu dan filem Ada Apa Dengan Dosa itu berkata, kelewatan memperoleh visa disebabkan kerajaan Arab Saudi harus mendahulukan jemaah bernaung di bawah Tabung Haji berbanding dirinya yang ke sana atas tawaran agensi pelancongan.

Menyentuh mengenai isu beberapa jemaah haji berdepan masalah visa sehingga ada yang terpaksa pulang semula ke tanah air walaupun sudah sampai di Jeddah, katanya, dia mengharapkan mereka tidak berasa kecewa dan teruskan berusaha serta berdoa.

“Percayalah perkara yang baik pasti Allah akan permudahkan. Bersangka baik atas apa yang berlaku,” katanya.

Dalam waktu sama kata Riz, orang ramai yang mahu menunaikan Rukun Islam kelima tetapi memilih untuk mengikut pakej yang disediakan agensi pelancongan sebaiknya mereka meneliti dahulu sebelum membuat keputusan.

“Perkara pertama mereka harus buat adalah bertanya kepada orang sekeliling yang pernah menunaikan haji dan bagaimana agensi dipilih itu menguruskan mereka sepanjang mengerjakan ibadah.

“Cari juga agensi pelancongan yang sudah berjaya membawa jemaah untuk mengerjakan ibadah haji tanpa sebarang masalah. Atau mereka pernah berhadapan dengan masalah tetapi tahu bagaimana mahu menyelesaikannya.

“Andai agensi terbabit tidak mempunyai pengalaman sebaiknya elakkan mengambil pakej disediakan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 6:33pm
d