rap

Hebatnya aura Westlife

Oleh Georgie Joseph

MUNCULLAH sebanyak mana pun kumpulan atau boyband baru, belum pasti mampu menandingi Westlife dari Ireland. Ketika dunia didominasi kumpulan muzik K-Pop, peminat Westlife terus kukuh sehingga saat ini.

Cukup popular sekitar penghujung 1990-an dan awal 2000, kumpulan dianggotai Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan dan Mark Feehily ini terus dipuja peminat di Malaysia.

Buktinya lebih 14,000 hadir menonton konsert Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ In Kuala Lumpur yang berlangsung kelmarin dan semalam di Stadium Malawati, Shah Alam.

Mungkin ramai sudah lupa bagaimana hebatnya aura kumpulan itu ketika era kegemilangan mereka. Ketika itu, tenaga serta nyanyian Westlife cukup luar biasa dalam menghidupkan setiap persembahan mereka.

Selama 22 tahun menghambakan diri sebagai penghibur, ternyata Westlife masih menyengat dan berbisa. Rata-rata penonton yang hadir pastinya terkejut bagaimana Westlife kekal lincah dan vokal mereka langsung tidak berubah.

Sebaik mereka muncul di pentas jam 8.30 malam, stadium terus bergema dengan jeritan penonton. Walaupun sudah biasa melakukan konsert mega, pembawaan diri mereka kekal tampak seperti kumpulan segar.

Benarlah kalau sudah memang taraf legenda, ia pasti terserlah pada setiap inci persembahan mereka. Tiada perkataan lain boleh menggambarkan keseluruhan konsert itu selain menakjubkan.

Paling penting, daripada segi teknikal juga seluruh produksi memberikan elemen kelas tinggi. Baik daripada sistem pencahayaan, penataan bunyi, latar belakang, sehinggalah ke lima persalinan kumpulan itu, semuanya mega.

Terbukti, setiap anggotanya membuat persiapan yang cukup mengagumkan semata-mata mahu menjayakan konsert sempena ulang tahun ke-20 mereka itu. Tiada sedikit ruang untuk kesilapan kecil pun cuba mereka lakukan.

Bagaimanapun, mungkin dari segi pemilihan lagu saja membuatkan penonton sedikit ralat. Mana tidaknya, Westlife memiliki himpunan lagu yang cukup hit dan bermakna secara peribadi kepada setiap penonton.

Walaupun rata-rata lagu yang dinyanyikan adalah lagu terbaik mereka, masih banyak lagu kegemaran lain tidak dinyanyi seperti I Lay My Love On You. Andai saja tempoh masa konsert itu dipanjangkan sedikit, tentu penonton lebih puas.

Apapun, paling menyentuh tentu sekali kerendahan hati kumpulan itu terhadap sokongan berterusan diterima mereka sehingga kini. Tiada langsung unsur bong­kak dan mereka memilih untuk terus membumi.

Hal itu diungkapkan sendiri mereka betapa bermaknanya setiap sokongan peminat. Bahkan, mereka mengakui tidak mungkin akan merasai momen sebegitu jika bukan sebab peminat yang merealisasikannya.

“Sejak kecil, kami pernah rasa terabai dan hanya mampu menyimpan angan-angan besar untuk berjaya. Kami tidak terfikir pun akan dapat datang ke Kuala Lumpur seperti hari ini.

“Terima kasih kepada setiap seorang kamu kerana merealisasikan impian kami. Disebabkan kamulah kami dapat menjelajah dunia dan sangat terharu kebajikan kami dijaga rapi sejak turun dari pesawat,” kata Kian.

Westlife juga mengakui mahu meninggalkan memori terindah buat semua sebagaimana diberikan peminat sepanjang 22 tahun kerjaya mereka.

“Tanpa anda semua, kami bukan siapa-siapa. Semoga malam ini menjadi memori terindah buat anda dan pastinya kami juga. Terima kasih atas sokongan anda setiap kali kami berkunjung ke sini,” kata Shane pula.

DOA UNTUK NORA ANNE

Dalam pada teruja menghiburkan penonton, Westlife sempat mengambil peluang untuk menyeru rakyat Malaysia sama-sama membantu memberikan maklumat mengenai kes kehilangan remaja dari Ireland, Nora Anne Quoririn, 15.

Mereka turut mengajak orang ramai berdoa supaya Nora dapat pulang segera dalam pangkuan keluarganya.

Nicky berkata, mereka terkejut apabila mendapat tahu berita membabitkan rakyat senegara mereka itu sebaik tiba di Malaysia dan berharap remaja terbabit segera ditemui.

“Kami sudah kongsikan berita duka itu di media sosial. Kami berharap

Nora Anne akan ditemui secepat mungkin. Kepada sesiapa yang ada maklumat, tolong sama bantu cari dia. Keluarganya sekarang pasti sangat bersedih dengan kehilangan itu. Saya pasti mereka akan menghargai segala bantuan daripada anda,” katanya.

Yang pasti, mereka juga tidak sabar untuk terus menghidupkan industri muzik. Westlife bakal melancarkan album baharu berjudul Spectrum pada November nanti.

Konsert berkenaan dianjurkan Macpiepro dan pada April lalu, tiket konsert Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ In Kuala Lumpur mendapat sambutan luar biasa apabila habis terjual dalam tempoh 32 jam saja.

Westlife yang ditubuhkan pada 1998 mulanya dianggotai lima ahli. Bagaimanapun, pada 2012 kumpulan itu dibubarkan manakala seorang anggotanya iaitu Brian McFadden sudah terlebih dulu keluar daripada West­life pada 2004.

SENARAI LAGU KONSERT WESTLIFE THE TWENTY TWO 2019 ‘LIVE’ LIVE

IN KUALA LUMPUR

1.Hello My Love

2. Swear It Again

3. What About Now

4. My Love

5. When You’re Looking Like That

6. Uptown Girl

7. If I Let You Go

8. Better Man

9. Queen Medley

10.I Have a Dream

11. Unbreakable

12.Fool Again

13.Queen of My Heart

14.Dynamite

15.You Raise Me Up

16.Flying Without Wings

17.World of Our Own

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 4:30am
d