rap

'Ada masalah ke ambil Janna & Syafiq?' - Erma Fatima

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENERBIT, pengarah dan pelakon terkenal, Erma Fatima mempertahankan tindakannya memilih pelakon Janna Nick dan Syafiq Kyle sebagai teraju utama dalam pementasan teater Pawana Isabella pada 21 hingga 31 Ogos ini.

Erma berkata, peluang diberikan kepada pelakon drama beraksi di pentas teater membolehkan mereka belajar sesuatu yang baru.

“Orang sibuk tanya kenapa saya suka ambil pelakon TV berlakon teater. Suka hati sayalah. Kenapa busuk hati sangat pada pelakon TV? Bila lagi mereka nak belajar? Biarlah. Mereka bukannya pelakon kayu. Mereka memang boleh berlakon,” katanya.

Sementara itu, Janna berkata, tawaran diberikan untuk berlakon dalam teater itu adalah satu peluang keemasan.

“Bukan senang sebenarnya nak dapat peluang berlakon teater. Saya percaya, Kak Erma ada sebab tersendiri kenapa pilih saya dan Syafiq sebagai watak utama.

“Apabila sudah diberi tanggungjawab, ini bermakna kami kena berikan sepenuh komitmen dan cuba menampilkan yang terbaik.

“Walaupun teater bukan bidang saya, tapi tidak salah untuk mencuba dan belajar. Alhamdulillah, dari hari pertama sesi latihan saya dibantu dengan tenaga pengajar berpengalaman termasuk Kak Erma sendiri,” katanya.

Selain Janna dan Syafiq, pelakon lain yang terbabit dalam teater itu adalah Datuk Adflin Shauki, Azar Azmi, Ozlynn Wati, Johan Raja Lawak dan Datuk Ziela Jalil.

Malah, beberapa teater arahan dan terbitan Erma sebelum ini turut menampilkan pelakon popular sebagai teraju utama.

Antaranya, Teater Mak Cun, Natrah, Tun Mahathir, Tun Siti Hasmah, Takhta 3 Ratu dan banyak lagi.

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 12:11pm
d