rap

Rosyam Nor tawar hati terbit filem

Oleh Syanty Octavia Amry

PELAKON dan penerbit, Datuk Rosyam Nor tidak berhasrat menghasilkan filem selepas ia kurang mendapat sambutan.

Rosyam berkata, dia bukan merajuk atau berjauh hati, tetapi tawar hati kerana filem sukar mendapat sambutan berikutan situasi pasaran filem tempatan yang tidak menentu.

“Ramai bertanya bila saya hendak buat filem lagi, saya tak mahu sebab sudah malas. Filem yang saya terbitkan tak berapa laku.

“Mungkin tuah tidak menyebelahi saya apabila menghasilkan filem, jadi lebih baik saya fokus dengan perkara lain saja,” katanya.

Rosyam berkata, menghasilkan filem perlu fokus dan ambil masa yang lama. Malah pasaran filem sekarang juga sukar hendak menjangka selera penonton.

“Saya masih aktif berlakon tetapi hanya fokus pada drama saja selain perniagaan runcit yang saya jalankan sekarang,” katanya.

Filem terbitan Rosyam ialah Balistik yang mencatat kutipan sebanyak RM2.3 juta, Castello (RM1.56 juta), Isyarat Cinta (RM800,000) dan Rempit Sampai Langit (RM411,000).

Terbaru, Rosyam tampil menghasilkan filem pendek berjudul Warung Kami yang sudah dilancarkan di YouTube.

Filem pendek berdurasi lapan minit itu adalah idea Pengarah Urusan Sri Ternak Group of Companies, Datuk Raymond Ho dengan kerjasama ST Rosyam Mart.

Warung Kami mengisahkan realiti kehidupan seorang bapa yang terlalu sibuk mengejar waktu demi masa depan anak lelakinya.

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 4:17pm
d