rap

Inspirasi surat remaja

Oleh Norhayati Nordin

MALANG tidak berbau, dugaan yang menimpa selalunya tidak dijangka. Apapun, impak kemalangan dialami seseorang pasti mengubah kehidupan.

Itulah dipertontonkan dalam filem Warkah arahan Opie Zami yang mengangkat kisah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membantu pencarumnya.

Warkah diinspirasikan daripada kiriman surat seorang remaja kepada Perkeso sebagai tanda syukur dan terima kasih kerana membantu dia dan keluarga.

Bakal menjengah 45 pawagam tanah air mulai 15 Ogos ini, filem Warkah dibarisi pelakon hebat iaitu Namron sebagai Kamil, Syazwan Zulkifli (Saufi), Wafiy Ilhan (Ikmal), Rayyana Rayqa (Hana) dan Isyariana (Cikgu Nur).

Mengulas filem ini, Opie berkata, dia berusaha menggarap dengan baik bagi memastikan mesej khidmat masyarakat yang dimuatkan dapat diterima jelas penonton.

“Karya Warkah ini menjurus kisah kekeluargaan membabitkan bapa tunggal dua anak yang ditimpa kemalangan akibat kecuaian orang lain dan mengubah kehidupannya.

“Apa yang cuba dipaparkan dalam filem ini adalah malang datang tanpa diduga. “Kesan kemalangan boleh mengubah hidup seseorang.“Hilang upaya akibat kemalangan tidak hanya memberi keperitan kepada mangsa, juga meninggalkan kesan kepada keluarga terutama anak yang masih kecil,” katanya.

Opie berkata, melalui perkongsian filem itu dapat memupuk sikap berhati-hati masyarakat dan berusaha mencegah kemalangan.

Menurut anak Allahyarham Zami Ismail itu, meskipun bekerja sendiri dia tetap menjadi pencarum Perkeso.

“Sudah lima tahun saya mencarum Perkeso sebagai persediaan jika ditimpa kemalangan sewaktu bekerja. Sekurang-kurangnya, nasib akan terbela.

“Sebagai ketua keluarga, penting untuk saya memikirkan masa depan isteri dan anak jika diuji dengan perkara tidak diingini,” katanya.

Mengulas sambutan penonton, Opie berkata, dia yakin Warkah memiliki tarikan tersendiri dan orang ramai wajar menontonnya di pawagam.

Warkah hasil kerjasama Opyglobal Pictures dengan Perkeso untuk menyampaikan mesej keselamatan kepada masyarakat.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso, Dr Azlan Darus berkata, agensi kerajaan itu amat prihatin terhadap kebajikan pencarumnya.

“Tujuan utama filem ini dihasilkan sebagai peringatan kepada masyarakat supaya berhati-hati dan memupuk kesedaran pencegahan kemalangan.

“Untuk makluman, tahun lalu sebanyak 72,000 kemalangan direkodkan, peningkatan ketara yang mana kemalangan industri menurun tetapi kemalangan perjalanan ketika pergi dan pulang dari kerja meningkat.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 77 peratus mangsa utama kemalangan membabitkan motosikal agak tinggi dan adalah wajar jika dapat dicegah atau dikurangkan,” katanya.

Mengulas sasaran Perkeso terhadap penerbitan filem Warkah, Azlan berkata, matlamat utama bukanlah keuntungan kutipan pecah panggung.

“Apa yang diinginkan Perkeso, orang ramai sentiasa berhati-hati dan mencegah kemalangan daripada berlaku.

“Kalau boleh, cukup jika dapat menurunkan 2 peratus kadar kemalangan daripada berlaku.

“Ingatlah bahawa gantian kewangan diperoleh akibat kemalangan tidak mampu mengubah nikmat kehidupan yang hilang atau berkurangan,” katanya.

Azlan berkata, kadar kemalangan yang tinggi di negara ini patut dikurangkan bagi membantu tanggungan Perkeso untuk pampasan kepada pencarum berkurangan.

WARKAH MERUNTUN JIWA

Meskipun berkisar kisah kasih sayang keluarga, menariknya Warkah adalah kebangkitan semangat ke arah lebih baik biarpun ditimpa musibah.

Dugaan yang datang tanpa diduga dan konflik emosi dilalui Ikmal yang dibelenggu dilema apabila bapanya ditimpa kemalangan dan hilang upaya.

Masih belajar di sekolah menengah, Ikmal seakan hilang arah memikirkan perjalanan hidup dan adik, Hana yang masih kecil yang memerlukan perhatian.

Sukar baginya mengharungi dugaan berat itu, apatah lagi Ikmal cemerlang dalam pelajaran akan berjuang dalam peperiksaan penting.

Bergelut dengan dugaan demi dugaan, Ikmal pada mulanya kecewa dan putus asa sehingga muncul Cikgu Nur yang membantu keluarganya.

Maklumat berkaitan bantuan Perkeso kepada pencarumnya yang dijelaskan Cikgu Nur akhirnya mengubah nasib bapa Ikmal untuk mendapat rawatan lanjut.

Sementara itu, Perkeso menanggung pembiayaan pelajaran Ikmal dan adiknya hingga tamat belajar dan ia menjadi antara faedah diterima pencarum Perkeso.

Sehubungan itu, Warkah sesuai ditonton seisi keluarga dan mampu memberi inspirasi kerana garapannya begitu meruntun jiwa dan menyentuh emosi.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 5:06am
d