rap

Till Death: Azalea's Wrath perintis filem tempatan di Netflix

Oleh Georgie Joseph

PENGARAH filem Till Death: Azalea’s Wrath atau Dendam Azalea, Sein Qudsi bersyukur naskhahnya itu menjadi filem pertama tempatan ditayangkan secara eksklusif di platform digital terkenal Netflix.

Sein, 36, berharap kerjasama terbabit akan membuka peluang untuk platform perkhidmatan strim itu menerbitkan kandungan asal tempatan pula selepas ini.

“Sewaktu hasilkan filem ini, saya tidak tetapkan naskhah ini kena keluar wayang atau tayang di mana-mana. Apabila sudah tayang, saya mahu Netflix menjadi platform buat filem ini ditonton di seluruh dunia dan meluas.

“Apabila sudah masuk Netflix, semestinya impaknya berbeza. Filem ini kandungan pertama eksklusif yang diambil untuk masuk ke dalam platform itu.

“Semestinya, saya sangat bersyukur dan berbesar hati dapat membuka laluan bekerjasama dengan mereka. Harap peluang ini dapat buka mata pihak Netflix bahawa kandungan tempatan juga sebenarnya bagus,” katanya.

Berkongsi lanjut perkara itu, Sein mengakui tidak kisah filemnya itu menjadi kandungan tempatan percubaan oleh platform berkenaan.

“Kerjasama yang terjalin berlaku secara spontan dan Netflix Malaysia pun sedang buat percubaan untuk kandungan tempatan. Mereka mahu beri sokongan kepada kandungan tempatan.

“Misi saya cuma mahu tunjukkan kepada mereka bahawa pembikin filem tempatan boleh hasilkan kandungan yang bagus. Saya berharap mereka percaya dengan kemampuan kandungan dari Malaysia,” katanya.

Filem Till Death: Azalea’s Wrath yang mula ditayangkan pada 9 Ogos di Netflix lalu dibintangi pelakon handalan Khir Rahman, Vanidah Imran, Nam Ron, Kodi Rasheed, Zain Hamid dan Zulaika Zahary.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 6:36pm
d