rap

Keluar dari zon selesa

Oleh Georgie Joseph

VOKALIS band iAmNeeta, Neeta Manisha tidak dinafikan antara penyanyi wanita alaf baharu yang berbakat besar. Dia berjaya melengkapkan band berkenaan dengan vokal gemersiknya.

Namun, Neeta, 25, mahu mencabar dirinya ke tahap lebih tinggi. Sebagai penyanyi yang inginkan kepuasan dalam karier, anak jati Kedah itu berazam mengukuhkan namanya dalam industri.

Lantas, penyertaannya dalam Big Stage 2019 membuka dimensi baharu dalam kerjayanya. Dia mahu membuktikan dirinya penyanyi yang memiliki kesungguhan tinggi dalam industri muzik tanah air.

“Tujuan saya menyertai Big Stage adalah untuk keluar dari zon selesa. Saya tahu ia bukan mudah apalagi program ini pertandingan namun inilah masa saya dapat lihat sejauh mana kemampuan diri.

“Sebenarnya saya gementar apatah lagi perlu beraksi solo tanpa bantuan rakan band IAmNeeta yang lain. Bagaimanapun, saya akan cuba mempersiapkan diri sebaiknya menempuh pertandingan itu,” katanya.

Selesa bergerak dalam band, Neeta mengakui agak janggal untuk beraksi solo namun yakin pengalaman kerap membuat persembahan menjadi kelebihannya.

Bagaimanapun, dia tidak memandang remeh kebolehan peserta lain yang bertanding dalam program itu.

“Saya tahu agak sukar untuk menyesuaikan diri tanpa ada rakan band yang lain iaitu Patrick dan Anas. Namun, saya akan cuba biasakan diri untuk lebih selesa tampil solo di atas pentas.

“Semestinya saya mahu berikan yang terbaik memandangkan peserta lain juga penyanyi bagus termasuk Aziz Harun. Saya tidak mahu dilabel sekadar tempelan dalam pertandingan ini,” katanya.

Neeta juga bersyukur apabila keputusannya menyertai program berkenaan tidak mendapat tentangan mana-mana pihak. Bahkan, rakan anggota iAmNeeta memberikan sokongan padu.

Baginya, sokongan itulah yang menyemarakkan lagi semangatnya untuk buat yang terbaik dalam Big Stage 2019 nanti. Misinya tidak lain tidak bukan untuk melonjakkan nama iAmNeeta.

“Patrick dan Anas beri galakan kepada saya untuk masuk pertandingan ini. Tiada langsung tentangan daripada mereka bahkan gembira apabila saya dapat masuk.

“Saya anggap ini misi terbaik untuk menaikkan lagi nama iAmNeeta. Saya percaya platform ini bakal memberikan impak yang sangat baik buat kami bertiga kelak,” katanya.

Selain Neeta, turut bertanding dalam program berkenaan ialah penyanyi dari Korea Selatan, Han Byul, Chaleeda (Thailand), Dinda Permata (Indonesia), Aziz Harun, Kucaimars, Santesh, Irfan Haris, Fieya Julia, Adzrin, dan Sheryl Shazwanie.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 5:05am
d