rap

Johan letak harga demi anak

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA bekerja untuk duit kerana anak saya bukan seorang tetapi ramai.

“Kalau orang boleh ikut harga saya letak, saya akan beri komitmen 120 peratus dan ia juga berbaloi dengan harga yang diminta,” kata pelawak dan pelakon popular Johan Raja Lawak ketika diminta mengulas dakwaan dirinya meletakkan harga yang tinggi.

Menurut Johan, dia juga meletakkan harga tertentu terhadap penganjur jika diundang menjayakan mana-mana program amal.

“Penganjur perlu mengikut harga yang ditetapkan kerana saya juga ada program amal menerusi produksi sendiri.

“Mungkin orang tidak tahu, saya juga ada sekolah dan rumah anak yatim yang saya jaga serta dikendalikan produksi sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai kehadiran Ozlynn yang sentiasa menemani dalam setiap acara kata Johan, isteri pengkritik utamanya dalam karier seni.

“Ozlynn sentiasa memantau prestasi kerja saya sama ada sebagai penyampai radio mahupun pelawak.

“Kritikannya memang pedas dan jujur untuk saya terus memperbaiki kelemahan diri.

“Kalau tidak bagus dia akan beritahu tidak bagus. Contohnya, kalau sketsa saya di radio tidak kelakar, dia akan beritahu terus-terang.

“Kritikan isteri penting untuk saya terus menjaga kualiti kerja dari semasa ke semasa,”katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 4:15pm
d