rap

'Bantulah mereka...' - Fikry Ibrahim

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Fikry Ibrahim mengajak dan merayu orang ramai untuk membantu Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan dalam meringankan beban kira-kira 250 ahli yang tidak mendapat bayaran gaji sejak tiga bulan lalu.

Fikry ketika dihubungi berkata, sebagai selebriti dia terpanggil untuk membantu ahli kesatuan terbabit yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik.

“Ketika dimaklumkan berita ini oleh pengurus pagi tadi, saya rasa sedih apabila difahamkan sudah lebih tiga bulan rakan-rakan wartawan yang saya kenali di Utusan dan Kosmo tidak menerima gaji.

“Justeru, saya ingin mengajak orang ramai untuk menghulurkan sumbangan, tidak kira berbentuk wang ringgit atau sumbangan barangan dapur seperti beras, telur, sardin, tepung, susu formula dan sebagainya.

“Tiada istilah sebab mereka kawan maka saya mahu bantu. Bagi saya apabila seseorang hilang sumber rezeki pasti siapa pun akan tampil membantu,” katanya.

Menurut Fikry, dia berharap kesemua ahli NUJ yang berdepan masalah itu bersabar dan terus tabah.

“Tidak ada apa yang boleh saya katakan selain bersabar dengan dugaan ini. Saya akan cuba membantu semampu yang boleh.

“Rakan-rakan media sudah saya anggap seperti keluarga. Tanpa sokongan mereka tidak mungkin saya berada di tahap sekarang,” katanya.

Selain Fikry, pelakon dan pengacara Rozita Che Wan turut memuat naik status di Instagram Story bagi memohon sumbangan orang ramai membantu ahli NUJ terbabit.

Kepada yang ingin menghulurkan sumbangan boleh dimasukkan ke akaun CIMB National Union of Journalists - 8000367100.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 6:12pm
d