rap

Ippo Hafiz nikah 24 Ogos

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI dan komposer Ippo Hafiz, 31, akan menamatkan zaman bujangnya pada 24 Ogos ini bersama pasangannya, Fara Roslan.

Ippo ketika dihubungi mengakui teruja dan tidak sabar menantikan majlis pernikahannya.

"Persiapan semuanya sudah lengkap. Sangat mengujakan sebab saya dan Fara usahakan sendiri persiapan awal sehinggalah hari pernikahan kami,” katanya kepada Harian Metro.

Lebih menarik kata Ippo, pada majlis pernikahan nanti dia akan memperdengarkan lagu baru yang masih lagi dirahsiakan judulnya.

"Ia lagu bertemakan perkahwinan dan saya akan kongsi sebahagiannya di majlis akad nikah nanti. Jadi, selain majlis akad nikah, akan dirakamkan juga video muzik lagu baru ini.

“Sebelum ini saya banyak hasilkan lagu tema drama. Jadi, apa salahnya kalau saya buat lagu tema untuk majlis sendiri,” katanya.

Majlis akad nikah Ippo dan Fara akan berlangsung di sebuah vila yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Majlis resepsi pihak perempuan akan berlangsung pada 25 Ogos ini manakala pihak lelaki pula pada 31 Ogos.

"Selain dua majlis resepsi itu, Insya-Allah akan ada satu lagi majlis hujung tahun ini khas buat rakan-rakan artis,” katanya.

Ippo berkenalan dengan Fara ketika bekerjasama menghasilkan video muzik lagu Saat Bahagia tahun lalu.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 5:32pm
d