rap

Amal sikap berterus terang

Oleh Rudy Imran Shamsudin

DUNIA hiburan penuh dengan dugaan terutama bagi mereka yang sudah berkahwin. Mendengar ramai pasa­ngan selebriti berpisah atau bercerai sedikit sebanyak menimbulkan rasa bimbang di hati pelakon dan pelawak, Ammar.

Bagaimanapun, Ammar atau nama sebenarnya Azizul Ammar Abu Hassan bersyukur kerana isterinya, Nur Amalina Jamil sangat memahami dan meletak sepenuh kepercayaan kepada dirinya.

Ditemui pada majlis pelancaran sitkom terbaharu dibintanginya berjudul Pop Yeah Yeah, Ammar berkata, dia dan isteri mengamalkan komunikasi antara mereka dan berkongsi apa saja bagi memastikan tidak timbul perasaan curiga.

“Mungkin juga kerana itu isteri tidak pernah ambil pusing jika ada perkara yang cuba dibangkitkan. Jika berlaku kepada pasangan suami isteri lain, ia mungkin boleh menjadi punca kepada pergaduhan atau perselisihan faham.

“Isteri juga faham jika ada mesej yang tidak sepatutnya diterima daripada peminat perempuan kerana saya terbabit dalam industri hiburan dan ada peminat yang bersikap berlebih-lebih. Pendek kata, dia lebih memahami saya berbanding orang luar,” katanya yang juga bekas penyampai radio Hot FM.

Ammar yang mula mencipta nama menerusi program realiti Bintang Mencari Bintang berkata, dia mengamalkan sikap berterus terang dengan isteri.

“Saya tidak tahu orang lain, tetapi saya dan isteri senang berkongsi cerita mengenai apa saja. Amalina bukan saja isteri tetapi dia juga sahabat dan pendengar setia.

“Setiap kali balik kerja saya akan berkongsi apa saja yang berlaku seharian,” katanya.

Katanya, kadang-kadang isterinya terlalu percaya sehingga ada ketika dia rindu untuk isterinya berasa cemburu terhadap dirinya.

Dalam perkembangan lain, Ammar berkata, dia memikirkan masa depan keluarga terutama dalam membesarkan anak dan berusaha memastikan kerjaya seninya berjalan dengan lancar.

Sebaik kontraknya ditamatkan sebagai penyampai radio Hot FM, kerjaya lakonan dan pengacaraan Ammar berkembang dengan baik. Malah sehingga kini tidak tidak berhenti-henti mendapat tawaran kerja.

Selain terbabit dalam Pop Yeah Yeah yang mula ditayangkan sejak 3 Ogos lalu di TV3, Ammar sebelum itu menjayakan program Jom Kejar.

Selain itu, dia kumpulannya Titans masih lagi bertahan dalam program realiti Lawak Muzikal Superstar.

“Jujur kerana bimbang dengan situasi apabila sudah ditamatkan kontrak sebagai penyampai radio 14 Februari lalu, saya berusaha dengan menghadiri uji bakat yang dilakukan mana-mana syarikat produksi atau stesen TV.

“Saya tidak kisah walaupun watak yang ditawarkan itu kecil kerana ia antara cara untuk saya memberitahu saya masih aktif,” katanya.

Selain itu, Ammar juga terbabit dengan drama bersiri musim kedua Misteri Van Jenayah II bergandi­ngan dengan Bell Ngasri dan Elvina.

Dia bersyukur kerana kerjaya lakonannya berkembang baik sama ada membabitkan dunia lakonan atau bidang lawak.

“Mungkin itu berkat usaha saya menghadiri uji bakat. Ia secara tidak langsung memberitahu kepada penerbit dan stesen TV yang saya tidak lagi terikat dengan stesen radio dan ia memudahkan saya untuk bekerja.

“Mungkin sebelum ini tawaran agak kurang kerana saya bekerja sepenuh masa dan tumpuan lebih kepada kerja hakiki saya sebagai penyampai radio,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 4:30am
d