rap

Himpunan peminat Indie

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

KONSERT jelajah Indieversary Tour 2019 yang menggabungkan tiga kumpulan indie iaitu Gerhana Ska Cinta (GSC), The Times dan Joanna & Co mencipta kelainan tersendiri apabila menghimpunkan tiga genre muzik dalam satu persembahan.

Memulakan jelajah di Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang dan Insider Satellite, Ipoh, pada 13 dan 14 Julai lalu, tiga kumpulan itu bertemu peminat bagi menghiburkan mereka.

Penyanyi dan pemain gitar GSC, Eddy J menganggap ia langkah yang baik kerana mengumpulkan kumpulan indie dalam penganjuran berkenaan.

“Pada dua program terdahulu, ribuan peminat menghadiri persembahan kami. Ia membuktikan muzik kumpulan indie terus mekar dan diterima peminat,” katanya.

Berpengalaman 20 tahun dalam industri muzik, ketua kumpulan GSC itu memberitahu mereka akan menganjurkan persembahan yang sama di beberapa lokasi lain.

Antara lokasi itu adalah The Bee Publika, Kuala Lumpur pada 31 Ogos ini, Black Box Publika, Kuala Lumpur pada 27 Oktober depan dan Borneo 744 di Kuching, Sarawak pada 2 November.

Selain itu di Hard Rock Cafe, Kota Kinabalu, Sabah pada 7 Disember ini dan beberapa lokasi lain di Johor Bahru dan Kuantan.

Tiket konsert berkenaan dijual antara RM35 hingga RM40 dan mereka yang hadir berpeluang menerima pelbagai cenderahati berserta tandatangan.

Menurut Eddy J, kelainan jelajah itu adalah mereka mempersembahkan genre muzik ska dan reggae manakala The Times membawa genre rock & roll manakala Joanna & Co dengan genre pop.

“Inilah keunikan Jelajah Indieversary Tour 2019. Kami berkumpul di atas satu pentas dan mendengarkan lagu popular masing-masing,” katanya.

Eddy turut menzahirkan penghargaan buat penganjur, Fred Perry Discover dan Jeddy Sport My atas usaha mengumpulkan tiga kumpulan itu.

Selain Eddie J, sembilan anggota lain membarisi GSC adalah Widy yang bertindak sebagai penyanyi, Pedd (penyanyi), Bakri (dram), Skaloot (bass), Fairuz (keyboard), Reggie (trombone), Farin (saxophone), Nadzmi (saxophone) dan Zul (trumpet).

Memiliki lima album sejak 1999, GSC mempertaruhkan lagu popular mereka iaitu Senyum Ragamu, Mimpi dan Perusak Chenta dalam jelajah berkenaan.

Dalam pada itu Eddy memaklumkan GSC akan melancarkan dua single terbaharu berjudul Aku Dulu Bukan Sekarang dan Mutiara pada 31 Ogos ini.

Pernah mengadakan persembahan di Singapura, kumpulan itu pada masa sama merancang mengumpulkan semua single dalam sebuah album pada tahun depan.

Sementara itu, penyanyi dan ketua kumpulan The Times, Naza mengharapkan kehadiran mereka pada jelajah berkenaan mampu mengembalikan semula nama kumpulan itu.

“The Times sebenarnya sudah lama tidak aktif dan kepulangan ini diharap melepaskan kerinduan peminat. Penganjuran jelajah ini sesuatu yang bagus kerana memberi banyak pilihan kepada peminat untuk mendengarkan muzik genre ska, rock & roll serta pop,” katanya.

The Times yang turut dianggotai Bakri (dram), Kabin (bass) dan Jibz (gitar utama) turut menyatakan kemahuan untuk menjadikan persembahan jelajah itu sebagai acara tahunan.

“Ini akan kami lakukan melalui perbincangan bersama penganjur. Kami juga mengharapkan tajaan daripada syarikat berkaitan untuk menghidupkan semula kumpulan indie,” katanya.

Naza berkata, seperti ska dan reggae, genre rock & roll juga sentiasa mekar di era millenium.

Popular dengan lagu berjudul Bintang, Pesona Algebra, Wanita, Lipstik dan Tunjuk Perasaan, Naza melahirkan kesyukuran apabila kumpulan itu mampu bertahan selama 15 tahun.

“Kumpulan indie terus kekal kerana kelompok seperti kami memiliki peminat tersendiri. Kami sebenarnya tidak mensasarkan pasaran muzik tetapi kami bertahan melalui muzik ‘evergreen’,” katanya.

Dalam pada itu Joanna and Co berkata, jelajah itu membawa sinar yang baru bagi mengembalikan semula nama kumpulan itu.

Penyanyinya Joanna berkata, mereka sudah lama menantikan saat sebegini dan akhirnya usaha untuk mengumpulkan tiga kumpulan indie menjadi kenyataan.

“Kami komited untuk memberi persembahan yang baik dalam baki penganjuran,” katanya.

Memiliki enam lagu antaranya Go Ahead dan Aku Pelangi, Joanna & Co bersyukur kerana masih bertapak sepanjang 14 tahun terbabit dalam industri muzik.

“Untuk kekal dalam industri muzik, kami sentiasa menjaga hubungan sesama ahli termasuk mengadakan Hari Keluarga bersama di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Bali di Indonesia,” katanya.

Menurutnya, kumpulan itu sentiasa mencari ilham bagi menghasilkan lagu baru untuk memenuhi permintaan peminat.

Selain Joanna, kumpulan itu turut dibarisi Ijam (gitar), Kusha (bass), Farid (dram), Azmi (gitar) dan Cimaw (keyboard).

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 5:00am
d