rap

Tauke jadi tauke mi

Oleh Najiy Jefri

“ARTIS tiada pencen. Jadi, saya perlu mempersiapkan diri untuk masa hadapan,” kata pelawak popular Tauke yang membuka perniagaan makanan berasaskan mi segera Indonesia, baru-baru ini.

Tauke, 43, atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria berkata, menyedari kehidupan sebagai anak seni ada pasang dan surut membuatkan dia terdetik untuk berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sebagai bekalan untuk menyara keluarga.

“Saya sudah lama terbabit dalam perniagaan. Sebelum ini saya ada menjual produk, tetapi ini percubaan pertama saya membabitkan diri dengan perniagaan berasaskan makanan.

“Peluang hanya datang sekali, jadi apabila tawaran datang, saya terus sambar. Alhamdulillah perniagaan berjalan dengan baik bersama seorang lagi rakan kongsi” katanya.

Menurut Tauke, dia memilih lokasi FoodMonger, Cyberjaya sebagai lokasi pertama perniagaan itu kerana percaya kawasan itu mempunyai pasaran tersendiri.

“Ramai menganggap Cyberjaya tiada apa-apa. Sebenarnya lokasi itu sangat strategik kerana terdapat beberapa universiti dan penduduk yang ramai. Saya percaya dengan harga yang ditawarkan mampu memberikan kepuasan kepada setiap pengunjung,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 6:24pm
d